Join Us Here!

UTAMAKAN PRINSIP MUAMALAT ISLAM UNTUK BISNES BERJAYA – CEO ARBA TRAVEL & TOUR SDN BHD

UTAMAKAN PRINSIP MUAMALAT ISLAM UNTUK BISNES BERJAYA – CEO ARBA TRAVEL & TOUR SDN BHD

“Kita seperti duta kepada Islam, perlu menjadi terbaik hingga ke peringkat lokal dan global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ARBA Travel & Tour Sdn Bhd, Ammar Roslizar.

Kini syarikat beliau yang ditubuhkan pada 2014 mempunyai produk pelancongan di 35 negara, dan empat pejabat yang beroperasi di dalam dan luar negara. Pada 2017, ARBA Travel dinobatkan sebagai “Top 30 SME in Malaysia” daripada 1.2 juta syarikat perusahaan kecil dan sederhana.

“ARBA Travel berpegang kepada prinsip Muamalat Islam. Staf celik perkara tersebut dan menjauhi amalan bertentangan dengan Islam termasuk rasuah. Mereka juga membudayakan solat Dhuha dan solat berjemaah di pejabat.

“Saya sebagai ketua mengambil berat soal kebajikan staf. Untuk mendapatkan pelanggan yang gembira dengan perkhidmatan berkualiti, saya perlu mendahulukan kebajikan dan khidmat berkualiti kepada staf.

 

Ammar tidak lokek berkongsi rahsia kejayaan beliau dalam menerajui ARBA Travel & Tours Sdn Bhd.

 

“Jika mereka datang kerja dengan tidak bersemangat kerana ada masalah, saya akan suruh balik untuk menyelesaikan urusan mereka dahulu,” kata beliau ketika dihubungi untuk berkongsi rahsia kejayaan syarikat yang diterajuinya.

 

Ammar berasakan apa yang dilakukan bukan kejayaan, tetapi ia adalah proses pencapaian demi pencapaian. Bagi beliau apa yang penting adalah memberi sumbangan kita kepada masyarakat.

Ini adalah hasil didikan ibu beliau, Nabilah Baharuddin, 56, yang berpesan, apa yang kita buat adalah untuk orang lain dan bukan untuk diri sendiri semata-mata. Ayah beliau, Prof Madya Dr Roslizar Mat Ali, 58, yang merupakan anak felda daripada keluarga susah menjadi inspirasi kepadanya, ‘kita boleh mencapai apa sahaja yang kita hendak’.

“Saya yang masih muda dan tidak berpengalaman hanya redah sahaja untuk berniaga dalam bidang pelancongan. Perniagaan kami pernah diuji dengan ‘tragedi Julai 2015’ sehingga menyebabkan perniagaan jatuh.

“Sebelum berada di kedudukan sekarang, saya pernah bergelar asnaf yang menerima bantuan di Australia. Sebagai suami sebenarnya sukar digambarkan apabila tidak cukup duit untuk menanggung keperluan keluarga.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff menyampaikan bingkai gambar Pesan Tokoh kepada Ammar.

 

“Tetapi isteri saya sangat menyokong saya dan tidak pernah merungut. Pepatah menyebut, isteri diuji ketika susah, suami diuji ketika senang. Kini, apabila ALLAH memberi rezeki, kita mestilah ingat waktu susah.

“Pengajarannya, apa pun yang kita lakukan, kemuliaan itu tidak datang dengan status, kerja, pangkat atau berapa banyak harta. Nilai yang penting adalah kita buat yang terbaik dan niatkan untuk membantu orang lain. Inilah kepuasan hidup saya di dunia and akhirat,” katanya.

Tokoh usahawan muda ini berkongsi pengalaman dalam sesi Bersama Tokoh pada program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 6.0 di QTT 1, Bangunan Sinar, Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam pada 26 Oktober 2019.  Untuk maklumat lanjut, sila layari di https://www.facebook.com/WorldQuranHour/videos/544422623027807/

 

 

 

Close Menu