Join Us Here!

TELADANI SITI MARYAM JAGA KESUCIAN DIRI

TELADANI SITI MARYAM JAGA KESUCIAN DIRI

Surah Maryam mengabadikan wanita bernama Maryam binti Imran di dalam al-Quran. Beliau mempunyai pendirian yang kukuh untuk mempertahan iman dan kesucian dirinya.

Kisah Maryam turut dinukilkan dalam Surah Ali ‘Imran mengenai ibunya yang berhajat untuk menyerahkan anak yang masih dalam kandungan untuk berkhidmat kepada ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman: “Ingatlah ketika isteri Imran berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu, kandunganku (kelak) menjadi hamba yangmengabdikan diri (kepada-Mu), maka terimalah (nazarku). Sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Ali ‘Imran: 35)

Untuk mengambil intipati kisah Maryam, Penasihat Modul Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Mohd Harfiz Hamzah mengupas lebih lanjut dalam Sesi Tadabbur Surah Maryam pada Women #QuranHour: Wanita Inspirasi Negara.

Mohd Harfiz bersama qari Surah Maryam, Pelajar USIM, Muhammad Afiq Aiman Roslee.

 

Program tersebut diadakan sempena Konvensyen Hawa 2019, anjuran oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Sesi 2018/19 dengan kerjasama Rumah Ngaji Negeri Sembilan di USIM, 11 Oktober 2019.

Menurut Mohd Harfiz, Surah Maryam mengandungi pelbagai tema dan intipati yang boleh dijadikan panduan kepada kita. Sempena program berinteraksi dengan al-Quran bertemakan kewanitaan ini, beliau memfokuskan Surah Maryam ayat 16 – hingga 32 untuk ditadabbur mengenai warisan agama kepada generasi seterusnya.

  1. Kekuatan seorang wanita (ayat 16 – 20)

Maryam keluar dari kampung untuk beruzlah. Tiba-tiba Malaikat Jibril AS yang berupa seorang lelaki yang sempurna rupa bentuknya datang untuk menyampaikan berita kepada Maryam mengenai anugerah zuriat yang suci.

Beliau segera bermohon perlindungan kepada ALLAH daripada perbuatan lelaki jahat dan mengharapkan lelaki di hadapannya ialah hamba ALLAH bertakwa. Menjadi kejutan kepada Maryam apabila menerima berita tersebut, sedangkan beliau tidak pernah disentuh oleh lelaki dan bukan penzina.

Mohd Harfiz berkata, pengajaran daripada kisah Maryam tersebut menunjukkan ALLAH SWT mengangkat martabat wanita yang mempunyai pendirian kukuh dalam menjaga kehormatan diri. Ini bukan perkara mudah kerana wanita perlu membina prinsip tersebut.

“Panduan membina prinsip tersebut adalah kita perlu bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan sebuah warisan dengan menjaga diri dengan baik secara dalaman dan luaran.

“Kita berharap bukan sekadar menjaga diri, malah negara dan dunia terhadap penjagaan hak wanita.”

  1. Di bawah penjagaan ALLAH SWT (ayat 24 – 26)

Maryam menjadi contoh wanita yang menerima ujian amat besar. Ketika melahirkan anak, beliau ditenangkan dengan adanya sungai yang mengalir di bawahnya. Beliau yang masih lemah perlu menggoncangkan pohon tersebut untuk mendapatkan tamar yang masak.

Mohd Harfiz berkata, kita hendaklah bermohon kepada ALLAH SWT agar sentiasa berada di bawah radar (penjagaan) ALLAH SWT. Mendapat keistimewaan di sisi ALLAH bukan bermakna kita hanya goyang kaki. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

“Hari ini kita diuji dengan anak untuk memastikan pewaris seterusnya dapat mewarisi agama. Ini melibatkan institusi kekeluargaan. Dari rumah, kita pastikan dapat melahirkan anak yang mampu mewarisi agama.

“Dalam menghadapi cabaran tersebut, kita bermohon kepada ALLAH SWT, “Ya ALLAH, kami mahu di bawah radar Mu ya ALLAH.” Dengan kebergantungkan kepada ALLAH, insya-ALLAH, kita mendapat pelbagai bantuan daripada Tuhan yang Maha Berkuasa,” katanya.

  1. Hadapi persepsi dunia (ayat 27 -29)

Tidak mudah bagi Maryam yang tidak pernah disentuh lelaki dan berasal dari keluarga yang dipandang tinggi untuk diterima masyarakat ketika kembali bersama seorang bayi, Isa AS. Namun keberanian Maryam untuk berhadapan apa jua pandangan masyarakat, menunjukkan kebijaksanaan beliau menangani krisis.

Mohd Harfiz berkata, Maryam tidak menjawab pertanyaan kaumnya. Dia menunjukkan kepada bayi untuk menjawab dengan izin ALLAH SWT. Inilah mukjizat Nabi Isa AS.

“Ini menunjukkan sebagai wanita yang ada prinsip dan berjiwa besar mampu mengurus krisis dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.”

  1. Anak anugerah ALLAH SWT (ayat 30 -34)

ALLAH SWT berfirman: “Dia (Isa) berkata, “Sesungguhnya aku hamba ALLAH. Dia memberiku Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku nabi. Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada, dan Dia memerintahkan kepada ku mendirikan solat dan menunaikan zakat selama aku hidup,” (Surah Maryam: 30-31)

Mohd Harfiz berkata, anak merupakan anugerah besar daripada ALLAH. Kita mungkin berasa susah menghadapi karenah anak. Namun anak adalah amanah ALLAH untuk kita mendidiknya bersungguh-sungguh untuk ke syurga. Jika rasa susah, berdoalah semoga ALLAH membantu kita sentiasa di dalam radar-Nya.

Surah Luqman memberi panduan untuk melahirkan anak yang mempunyai roh Islam dan dapat mewarisi agama. Antara ciri-ciri anak yang diharapkan adalah mengakui dirinya sebagai hamba ALLAH dan melaksanakan dalam konteks kehambaan berpandukan al-Quran dan Sunnah; menjaga solat dan menjaga hubungan dengan ALLAH; mempunyai mentalilti suka membantu orang lain dengan berzakat; dan berbuat baik dengan kedua ibu bapa.

  1. Diberkati ALLAH SWT

Nabi Isa diberi kehidupan yang diberkati ALLAH. Berkat bermaksud kebaikan yang senstiasa bertambah. Kita perlu berusaha untuk melahirkan generasi yang barakah. Untuk mendapat keberkatan, baca dan tadabbur ayat al-Quran sebagai panduan hidup kita.

ALLAH SWT berfirman: “Kitab al-Quran yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran.” (Surah Sad: 29)

Women #QuranHour @ USIM dirasmikan oleh isteri Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Yang Dipertua Bakriyah Negeri Sembilan, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof. Turut hadir, Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri Usim, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar; Pengerusi Perkim Seremban merangkap Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim dan Timbalan Pengarah Kompleks Islam Tuanku Mukhriz Usim, Dr Norzulaili Mohd Ghazali, Ketua Pegawai Operasi WUIF, Maslinda Md Esak.

Wan Hasni (duduk, tengah) bersama tetamu dan pelajar USIM yang menyertai Women #QuranHour sempena Konvenysen Hawa 2019

 

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada belia wanita Islam mengenai persiapan dalam menghadapi cabaran globalisasi Abad ke 21, selaras dengan aspek yang digagaskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Selain itu, ia menyediakan keperluan tenaga pakar profesional yang mempunyai ilmu agama secukupnya dalam pelbagai bidang dan berfungsi kepada keluarga, masyarakat dan negara.

 

Close Menu