Sertai Kami Di Sini!
TANPA AL-QURAN, UMAT ISLAM HANYUT

TANPA AL-QURAN, UMAT ISLAM HANYUT

“Tidak faham al-Quran menjadi punca umat Islam hanyut. Jika semua orang ada al-Quran di dalam hati, iaitu baca, faham, dan amal, ia mampu membangunkan ummah yang kuat.”

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata demikian pada program Training of Trainers (TOT) di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada 17 April 2018.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub.

 

Seramai 80 peserta yang terdiri daripada kalangan penggerak Rumah Ngaji dan guru ngaji menyertai kursus Teknik Al-Badar dan Kaedah Tadabbur & Tazakkur al-Quran selama dua hari anjuran WUIF dan Rumah Ngaji yang berakhir hari ini.

Peserta TOT memberi tumpuan dalam sesi tadabbur dan tazakkur.

 

“Program TOT merupakan inisiatif untuk membangunkan golongan guru ngaji untuk menyelamatkan masyarakat untuk kembali kepada al-Quran. Mereka perlu menggunakan pendekatan mengajar al-Quran yang mudah untuk menarik minat orang ramai membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kitab suci tersebut.

“Dengan ilmu al-Quran tersebut, sekurang-kurangnya kita dapat selamatkan diri, keluarga, jiran, masyarakat sekeliling di kampung, bandar, negeri dan negara. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan nilai-nilai al-Quran dipasak dalam jiwa anak untuk dijadikan panduan hidup.

“World #QuranHour sebenarnya adalah kempen untuk mengajak umat Islam berinterkasi dengan al-Quran. Melalui My #QuranHour, setiap orang Islam membaca al-Quran sejam sehari. Kemudian jadikan aktiviti baca al-Quran, tadabbur dan tazakkur bermula dengan diri dan keluarga,” katanya.

 

 

Ustaz Shamsul merupakan pengasas Teknik Al Badar.

 

Pengasas Teknik Al-Badar, Ustaz Shamsul Mohd Nor berkata, al-Quran menjadi pertunjuk kepada manusia. Ia bukan sekadar dibaca, tetapi perlu difahami apa isi kandungan. Kitab tersebut diturunkan untuk kita bertadabbur dan bertazakkur untuk diambil pengajaran dan diamalkan dalam kehidupan kita.

“Kaedah Al-Badar memperkenalkan teknik baru untuk baca al-Quran dengan mudah dan tertarik untuk terus belajar. Ia bertujuan untuk melahirkan golongan manusia yang bertakwa dan memahami al-Quran,” katanya.

Peserta berpeluang untuk mempelajari ilmu tadabbur dan tazakkur al-Quran bersama Ketua Penasihat Penyelidik & Modul WUIF, Fazrul Ismail dan Master Trainer, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Ustaz Mohd Harfiz Hamzah.

Kaedah tadabbur dan tazakkur membantu pembaca untuk memahami al-Quran dan mengetahui mesej ALLAH untuk dijadikan panduan hidup manusia.

 

Hussamuddin (tengah), Ustaz Shamsul bersama peserta TOT.

 

 

 

Close Menu