Join Us Here!

TANGGUNGJAWAB MUSLIM TERHADAP AL-QURAN

TANGGUNGJAWAB MUSLIM TERHADAP AL-QURAN

Ucapan syukur “Alhamdulillah” atas nikmat ALLAH SWT yang menjadikan kita manusia dan beriman dengan-Nya. Bertambah kesyukuran kita kepada ALLAH SWT yamg menurunkan al-Quran untuk dijadikan panduan kehidupan kita. Namun bagaimanakah kita menyantuni al-Quran sebagai sahabat sejati?

Daripada Uthman Bin ‘Affan RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Riwayat Imam Bukhari)

Pencetus Ummah Suhaimi Mohd Yunus dalam slot perkongsian ilmu “Biar Sekejap Tapi Mantap” memfokuskan tanggungjawab kita terhadap al-Quran di Majlis Jamuan Hi-Tea anjuran Rumah Ngaji @ Asma’ Sri Kundang di Anjung D’Tasik Biru, Sri Kundang, Rawang, Selangor pada 16 November 2019.

SUHAIMI

 

Antara kepentingan membaca al-Quran adalah mendapat syafaat di akhirat. Dalam hadis menyebut, daripada Abi Umamah RA berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran, karena sesungguhnya al-Quran itu pada hari Kiamat akan memberikan syafa’at kepada pembacanya.” (Riwayat Muslim)

Suhaimi berkata, terdapat lima tanggungjawab setiap Muslim terhadap al-Quran:

  1. Belajar al-Quran – Menjadi tuntutan bagi umat Islam tanpa mengira kedudukan dan keturunan untuk mempelajari al-Quran dengan tartil. Tartil yang dimaksudkan adalah membaca al-Quran dengan bertajwid, makhraj dan sifat. Oleh itu, kita perlu berguru untuk belajar al-Quran dan jangan berhenti belajar selagi hayat masih ada. ALLAH SWT berfirman: “Atau lebih daripada (seperdua) dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.” (Surah Al-Muzammil: 4)
  1. Membaca al-Quran – Jadikan amalan membaca al-Quran setiap hari dalam kehidupan kita. ALLAH SWT berfirman: “Dengan Kitab itu, ALLAH memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan yang selamat dan (dengan Kitab itu juga) ALLAH mengeluarkan mereka daripada gelap-gelita kepada cahaya dengan izin-Nya dan menunjukkan jalan yang lurus.” (Surah Al-Ma’idah: 16)
  1. Tadabbur al-Quran – Apabila membaca al-Quran, kita perlu memahami isi kandungannya dengan bertadabbur, iaitu mengambil pengajaran daripada mesej ALLAH untuk diamalkannya. ALLAH SWT berfirman: “Kitab (al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran.” (Surah Sad: 29)
Al-Quran memberi panduan kepada umat manusia untuk hidup berjaya di dunia dan akhirat.
  1. Amalkan al-Quran – Kita bersyukur kepada ALLAH SWT yang menurunkan al-Quran untuk dijadikan panduan hidup kita. Menjadi tanggungjawab kita untuk mengamalkan isi kandungan al-Quran. Rasulullah SAW menjadi suri teladan hidup kita untuk mengamalkan al-Quran. ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah SAW itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang menghrapkan rahmat ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat serta yang banyak mengingati ALLAH.” (Surah Al-Ahzab: 21)
  1. Sampaikan ilmu al-Quran – Daripada Usman bin Affan RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Orang terbaik daripada kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya” (Riwayat Al-Bukhari). Hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila manusia meninggal dunia terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber: Sedekah yang berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (Riwayat Muslim).

Suhaimi berharap kita sentiasa berusaha mempelajari, memahami dan mengamalkan al-Quran, seterusnya beristiqamah. Mudah-mudahan ALLAH SWT memberi ganjaran syurga bagi mereka yang berpegang teguh kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya.

Suhaimi memberi pengisian rohani di Majlis Jamuan Hi-Tea di Anjung D’Tasik Biru Sri Kundang baru-baru ini

 

Sementara itu, Penggerak Rumah Ngaji @ Asma’ Sri Kundang, Ustaz Mohd Noor Ismail berkata, seramai 150 tetamu termasuk kariah masjid dan surau di sekitar Kundang, Kuang, Bandar Country Home dan Bandar Tasik Puteri hadir mengikuti sesi perkongsian ilmu tersebut di samping menikmati jamuan hi-tea. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Salehuddin Amiruddin.

Antara tetamu yang hadir di Majlis Jamuan Hi-Tea anjuran Rumah Ngaji @ Asma’ Sri Kundang.

 

“Aktviti tersebut bertujuan melahirkan rasa kesyukuran atas sokongan menjayakan program Rumah Ngaji @ Asma’ Sri Kundang dan meraikan pencapaian kalangan ahli Rumah Ngaji kini semakin celik al-Quran.

“Majlis kerohanian berkonsep santai tersebut mendapat tajaan daripada Masjid Nurul Yaqin Kundang, Pusat Khidmat Adun Kuang, Pejabat Parlimen Rawang, dan ahli Rumah Ngaji @ Asma’ Sri Kundang,” katanya.

Dari kiri Mohd Noor dan Sallehudin dan tetamu memberi sokongan Kempen Reboot Malaysia & Global Harmony

 

 

 

Close Menu