Join Us Here!

BACA AL-QURAN DI JALANAN TARIK MINAT ORANG RAMAI

BACA AL-QURAN DI JALANAN TARIK MINAT ORANG RAMAI
Tasya melihat bacaan ibunya, Tanti.

 

Soul Fitness with Street Quran Recitation atau membaca al-Quran di jalanan mendapat sambutan menggalakkan kalangan masyarakat di kawasan Trek Basikal Kayuh, Tasik Shah Alam, Shah Alam, Selangor, pada 27 Oktober 2019.

Aktiviti tersebut yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas diadakan sempena program Santai Piknik Keluarga anjuran Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ahli Majlis MBSA, Dr Siti Sarah Izham berkata, Street Quran Recitation merupakan inisiatif baik untuk menarik minat masyarakat terhadap al-Quran.

SITI SARAH

 

“Orang ramai boleh mengambil peluang untuk memperbaiki bacaan al-Quran sambil bersantai bersama keluarga di luar rumah.

“Apa-apa pun kita yang lakukan dalam kehidupan, perlu kembali kepada al-Quran. Diharapkan aktiviti tersebut diteruskan bagi membina generasi al-Quran pada masa hadapan.” katanya.

Peserta kanak-kanak menunggu giliran untuk membaca al-Quran.

 

Santai Piknik Keluarga diadakan pada minggu ke empat setiap bulan. Antara aktiviti yang diadakan termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak berusia dari 5 hingga 9 tahun; pameran daripada pihak badan bukan kerajaan; pelbagai permainan untuk kanak-kanak seperti berbasikal, memancing ikan, dan bersama badut.

Ibu bapa juga berpeluang untuk mengikuti ceramah keibubapaan yang disampaikan oleh tetamu jemputan di lokasi yang sama. Aktiviti tersebut dapat mengisi masa berkualiti bersama keluarga di hujung minggu.

Pengurus Perhubungan Strategik dan Perhubungan Awam WUIF, Nurhayati Nordin berkata, Street Quran Recitation julung kali diadakan di Shah Alam.

Aktiviti santai berinteraksi dengan al-Quran di tempat umum adalah cetusan idea daripada Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein. Beliau berkongsi pengalaman tersebut apabila melihat rakannya yang bergiat aktif untuk mengadakan membaca al-Quran jalanan di Indonesia.

Ustaz Safri

 

Pada sesi tersebut, Nurhayati bersama Jurulatih dari Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Wan Muhammad Fahmi Wan Nasaruddin memberi bimbingan kepada hampir 50 peserta seawal usia 6 hingga 66 tahun dari segi penambahbaikan bacaan mengikut tajwid dan tadabbur ayat al-Quran secara ringkas.

Dari kiri, Wan Muhammad Fahmi, Pengurus Kanan Yayasan Nur, Rusmin Fadzil, Tanti Imsar dan anaknya, Tasya dan Nurhayati menjayakan program Soul Fitness for Street Quran Recitation.

 

Street Quran Recitation yang merupakan aktiviti di bawah kempen Community Hub Infaq Project (CHIP) turut menjadi platform untuk berkongsi rezeki. Pada hari tersebut, sebanyak 50 bungkus nasi lemak dan minuman telah diinfaqkan kepada 50 pembaca awal pada hari tersebut.

Sesiapa yang ingin berinfaq untuk Tabung Quran, boleh menyalurkan sumbangan kepada rujukan infaq: “InfaTQ” di akaun Maybank Islamic 5642 7651 6031 atas nama Warisan Ummah Ikhlas Foundation. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.worldquranhour.com

 

Apa kata orang ramai:

“Membaca al-Quran di tempat awam dapat menarik minat orang ramai terutama golongan kanak-kanak. Usaha tersebut perlu diteruskan.” – Ramli Othman, 47

“Kita tidak perlu malu untuk belajar al-Quran. Selain memperbaiki bacaan al-Quran, kita juga boleh bertadabbur daripada ayat dan dikongsikan oleh pembimbing.” Jaimah Yahya, 52

“Saya seronok dapat membaca al-Quran. Selain dapat memperbaiki tajwid, saya juga dapat pengajarannya iaitu ALLAH ciptakan manusia untuk jadikan diri kita lebih baik daripada semalam.” Muhammad Irfan Darwisy Khairul Azlinizam, 10

“Saya gembira dapat membaca al-Quran walaupun sekejap. Kebiasaannya kita sibuk dengan urusan sendiri. Jika diadakan baca al-Quran di tempat terbuka, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk turut serta.” Rumaini Mohd Nor, 66

“Jika kita baca al-Quran, kita akan dapat ganjaran yang baik daripada ALLAH SWT. Oleh sebab itu saya suka membaca al-Quran tidak kira di manapun berada.” Tasya Santoso, 9

Close Menu