Sertai Kami Di Sini!
RICH SIRI 6 – JANGAN JADI KELUARGA BISU

RICH SIRI 6 – JANGAN JADI KELUARGA BISU

OLEH FOUZIAH AMIR

“Ammar maaruf nahi mungkar” perkataan yang mudah disebut tapi sukar untuk dilaksanakan. Ia bermaksud menyeru ke arah kebaikan menghalang daripada perbuatan mungkar.
Mesej yang dinukilkan dalam al-Quran ini adalah penting dalam membina jati diri seorang insan cemerlang hidup di dunia dan akhirat. Ia secara langsung mengukuhkan sistem keluarga, masyarakat dan negara.
Penasihat Modul Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein bertadabbur dan bertazakkur mengenai pesan Luqman, “Anakku, amar maaruf nahi mungkar” dalam program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) ke-6, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Menurut beliau, jika diperhatikan perkataan Ya bunaya (wahai anakku) disebut berulang kali melalui nasihat Luqman dalam Surah Luqman, ayat 13 hingga 17. Panggilan yang indah, menyentuh hati dan penuh kasih sayang itu dapat menarik hati si anak untuk menerima nasihat.

Sebahagian Muslimat yang menyertai RICH

“Ibu bapa perlu selalu berpesan dan terus ingatkan kepada anak. Ia tidak cukup sekali cakap. Ini berdasarkan pengalaman kita sendiri yang pernah melalui zaman kanak-kanak. Cabaran sebagai ibu bapa adalah menunjukkan sabar dalam mendidik anak syurga yang diidamkan.
“Kita perlu terus nasihatkan orang lain untuk kebaikan dan jangan rasa bosan terutamanya dalam menyampaikan mesej ALLAH SWT.
“Sampaikan ucapan tersebut dalam bahasa yang indah dan penuh hikmah agar dapat menyentuh hati seseorang. Inilah konsep yang digambarkan oleh ALLAH SWT melalui Luqman,” katanya.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf dan cegahlah (mereka) daripada yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting.” (Surah Luqman: 17)
Safri berkata, ayat tersebut mengandungi tiga mesej yang disampaikan oleh ALLAH SWT melalui Luqman Al Hakim iaitu pertama dirikan solat; kedua, perintahkan untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan perbuatan mungkar; dan ketiga dan bersabar ke atas apa yang menimpa diri.
“Perintah ALLAH untuk melakukan ammar maaruf nahi mungkar selepas mendirikan solat yakni hubungan dengan ALLAH, kita perlu ada hubungan dengan sesama manusia.
“Generasi penerus umat tidak cukup dengan solat untuk jadi baik. Malah mereka perlu menyebarkan dakwah dan sentiasa menasihati orang lain,” katanya.

Keluarga bisu
ALLAH SWT berfirman: “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada ALLAH…” (Surah Ali Imran: 110)
Safri berkata, untuk menjadi keluarga dan masyarakat yang dikasihi ALLAH adalah dengan menyebarkan dakwah dan sentiasa nasihat dan menasihati. Inilah konsep keluarga, masyarakat dan umat bahagia serta bertamadun kerana mampu berdakwah menyampaikan risalah ALLAH.
Bersandarkan mesej daripada Surah Luqman, setiap ayah mahupun pemimpin negara perlu ada sifat amar maaruf dan nahi mungkir. Keluarga, masyarakat dan negara akan hancur jika tidak mempraktikkan perintah ALLAH ini.
“Contoh, anak balik malam, ayah tidak tahu. Isteri keluar rumah, suami tidak tahu. Balik ke rumah, semua buat hal masing-masing. Akibat tiada konsep nasihat-menasihat, maka berlaku kehancuran rumah tangga.
“Suami salahkan isteri, begitu juga di sebaliknya apabila tidak mendidik anak dengan baik. Sebenarnya tiada jalan keluar dalam menguruskan rumah tangga melainkan dengan kembali kepada al-Quran dan melakukan ammar maaruf nahi mungkar.”

Rumah jadi senyap dan sunyi kerana bapa bisu, emak bisu dan anak bisu – Safri

Beliau menegaskan, keutamaan suami dan juga ketua keluarga perlu menjaga hubungan dengan ALLAH. Apabila kamu menjaga hubungan ALLAH, maka ALLAH akan menjaga hubungannya sesama manusia.
Ada kalangan ibu bapa yang mahukan anak menguasai bidang agama, tetapi mereka sendiri gagal memberi contoh kepada anak. Anak tidak dapat meluahkan perasaan kerana si ibu sibuk buat kerja di dapur, bapa pula leka dengan telefon bimbit.
“Jangan salahkan anak apabila beralih perhatian kepada orang laini kerana ibu bapa tidak menjadi pendengar yang baik. Rumah jadi senyap dan sunyi kerana bapa bisu, emak bisu dan anak bisu.
“Apabila anak tidak berakhlak baik, ibu bapa saling menyalahi sesama mereka. Tanya kepada diri sendiri, bolehkah saya bawa keluarga masuk syurga?
“Ayah yang hebat akan memberi nasihat anak dengan baik, maka lahirlah keluarga dengan penuh kasih sayang. Jika anak mempunyai zuriat akan datang, juga sampaikan nasihat dengan baik. Di akhirat, kita akan berkumpul dengan seluruh keluarga dan keturunan.

Kalam ALLAH
Safri yang juga pensyarah Universiti Antarabangsa Al-Madinah berkata, kita perlu contohi legasi Nabi Yaakub AS dan Nabi Ibrahim AS dalam mendidik anak terhadap keimanan kepada ALLAH SWT. Legasi inilah yang kita inginkan dengan mengajar keluarga hidup berpandukan al-Quran.
Seterusnya kita dapat melahirkan generasi hebat yang cintakan ALLAH dan mempunyai sifat berdakwah, amar maaruf dan nahir mungkar.
Ibu bapa yang berjaya mendidik anak ke jalan ALLAH tidak akan risau. Apabila kalam ALLAH ada dalam diri anak, insya-ALLAH dihindari daripada kejahatan. Oleh itu setiap diri dan keluarga harus ada al-Quran melalui baca, faham dan amal.
Kesimpulannya, kata Safri, pertama untuk menjadi ayah hebat kena ada hubungan dengan ALLAH. Apabila kita jaga ALLAH, ALLAH akan jaga anak, rezeki dan hidup kita.
Kedua, ciri yang diperlukan sebagai pemimpin adalah perbaiki hati dan sisi dalaman kamu. Apabila hati baik, baiklah semuanya kerana hati mengawal jasad. Menjadi ibu dan bapa perlu ada sifat kecintaan dan kasih sayang.
Ketiga, bapa yang hebat perlu utamakan kehidupan untuk akhirat dengan membimbing keluarga ke jalan yang diredai ALLAH. Apabila kita pentingkan akhirat, dunia akan ikut kita.
“Untuk bawa keluarga ke syurga, pertama harus kembali kepada ALLAH. Kedua, letakkan al Quran dalam setiap hati individu khusus bapa.
“Ketiga, didik anak dengan penuh kelembutan, kasih sayang, dan kata-kata indah. Keempat, lakukan amar maaruf dan nahi mungkar sentiasa menasihati antara satu sama lain,” katanya.

Ibu bimbing anak membaca al-Quran
Close Menu