Sertai Kami Di Sini!
RICH SIRI 5 – NASIHATI ANAK DIRIKAN SOLAT

RICH SIRI 5 – NASIHATI ANAK DIRIKAN SOLAT

OLEH FOUZIAH AMIR

Pesan Luqman, “Wahai anakku laksanakanlah solat…” dalam Surah Luqman ayat 17, walaupun ringkas tetapi ia memberi kesan besar dalam mendidik anak untuk insan berjaya di dunia dan akhirat.
Kupasan tajuk tersebut dibawakan oleh Penasihat Modul Rumah Ngaji, Fazrul Ismail dalam program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) ke-5 sempena kempen #savingfamilies dan My Family #QuranHour di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Jalan Tun Perak Kuala Lumpur, jam 4.30 pagi.

Solat merupakan Rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Ia merupakan tiang Islam. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Penghulu segala perkara ialah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad di jalan ALLAH.” (Riwayat Tirmidzi)
Fazrul berkata, ibu bapa perlu mendidik anak untuk solat sejak kecil. Apabila anak semakin membesar, solat akan menjadi latihan harian yang mudah untuk dilaksanakan. Nasihat ibu bapa terhadap solat tersebut perlu berterusan walaupun anak itu sudah dewasa dan di mana jua berada.
“Solat merupakan satu urusan besar yang memerlukan keazaman. Ayah yang tidak solat kemungkinan sukar mendidik anak untuk melakukan ibadah tersebut.

Ibu bapa perlu mendidik anak dirikan solat sejak kecil.

“Jika solat tidak dijaga, ada kemungkinan si anak tidak dapat berinteraksi dengan manusia dengan baik. Solat yang dijaga dan didirikan bersungguh-sungguh pada waktunya, ia secara langsung memudahkan urusan dengan keluarga,” katanya.
Beliau menambah, orang yang tidak solat mungkin tidak sabar dengan keluarga, jiran dan masyarakat. Hati mudah sentap dan marah apabila ada orang menyakiti hati.
Oleh itu, mereka yang menjaga solat dan mendirikan solat tepat pada waktunya, insya-ALLAH dia mudah berurusan dengan orang lain.
Beliau menambah orang yang mempunyai keazaman yang tinggi, cabaran paling tinggi dan kuat beramal beribadah seperti Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS. Nabi Musa AS, Nabi Isa As dan Nabi Muhammad digelar Ulul Azmi.
Apabila ada orang mengutuk atau mengacau, kata Fazrul, mungkin kita boleh balas. Oleh itu minta maaf atau memaafkan memerlukan keazaman yang amat tinggi.
ALLAH SWT menyuruh hamba-Nya bersifat lemah lembut, memaafkan mereka dan memohon keampunan untuk mereka Dalam Surah Ali Imrah, ayat 159.

Nasihat solat
Fazrul berkata 13 ayat pertama dalam Surah Luqman menekankan tentang akidah. Ayat seterusnya menitikberatkan iman, iaitu walaupun sebiji sawi ALLAH Maha Mengetahui dan Maha Penyantun.
“ALLAH Maha Baik, tidak bermaksud kita boleh buat apa saja di muka bumi ini. Sifat sopan santun dibina atas dasar iman yang kuat. Luqman kemudian menekankan perkara ibadah seperti solat.
“Dalam menyampaikan nasihat Luqman, al-Quran tidak menyatakan respons anak. Ini menunjukkan reaksi anak tidak penting, tetapi yang penting adalah usaha ayah mengejutkan anak untuk solat.
“Walaupun tidak pandai agama, namun ibu bapa menjaga solat. Inilah kriteria yang penting dan menjadi contoh kepada anak.”
Beliau menegaskan anak perlu dididik dengan agama, agar ibu bapa tidak kecewa untuk membawa keluarga masuk syurga. Masa solat adalah masa berkomunikasi dengan ALLAH. Solat dalam maksud lain adalah doa.
Selain berusaha dalam kehidupan, kita perlu bantuan ALLAH dengan solat dan sabar. Orang yang sabar sentiasa melawan cabaran dalam diri musuh iaitu nafsu, barulah dapat mendirikan solat dan mendapat bantuan kabel besar daripada ALLAH SWT.

Program Rich diadakan di ruang solat Masjid Jamek Sultan Abdul Samad , Kuala Lumpur

“Ayah perlu memberi nasihat berdasarkan iman dan akidah. Apabila anak menjangkakan ibu bapa untuk mengejutkan bangun pagi itu petanda luaran masuk ke dalam. Untuk menukarkan kepada dalaman, ia perlu masukkan semula keimanan dan motivasi sebagai asas.
“Ambil peluang untuk berborak dengan anak di waktu santai seperti ketika di dalam kereta untuk memberi motivasi solat, bahawa di sisi ALLAH lebih baik dan kekal adalah orang yang beriman dan bertawakal.
“Jika kita hendak terus bahagia, kuatkan iman dan tawakal. Orang yang bertakwa dan proaktif akan terus berusaha untuk berjaya,” katanya.

Sepertiga malam
Fazrul berkata, terdapat empat tahap dalam solat iatu Saahuun (Lalai); Konsisten (Surah al-Maarij); Khusyuk (Surah al-Mukminoon); dan Solat sunat malam (Surah al-Furqaan).
Pertama, orang yang lalai solat tidak menjaga kualiti solat. Ia sekadar didirikan tetapi tidak faham apa yang dibaca. Bagi anak yang berusia bawah 6 tahun diajar solat walaupun lewat waktu.
Kedua, solat yang konsisten didirikan pada awal waktu. Apabila anak berusia 7 hingga 10, perlu mula serius untuk kawal waktu mendirikan solat.
Ketiga solat dengan khusyuk, yakni solat berkualiti. Kesan kepada anak adalah menjadi lebih bertakwa, proaktif dan fokus untuk terus berusaha seperti orang berjaya.
Keempat, solat Tajahud yang didirikan sepertiga malam. Sebagaimana ALLAH SWT berfirman: “Dan pada sebahagian malam, dirikanlah solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.” (Surah Al-Isra’: 79)
Solat tahajud bukan sekadar mendirikan solat, kata Fazrul, ini termasuk membaca al-Quran, berzikir, sama ada secara sendirian atau bersama keluarga.
Tahajud dikaitkan dengan jihad. Ia bermaksud kesungguhan yang datang dari dalam diri, iaitu hati yang sejahtera. Ini bermakna tahajud adalah bermula dari hati, kemudian kuatkan fizikal untuk bangun sepertiga malam.
“Dirikanlah solat tengah malam walaupun solat witir satu rakaat. ALLAH SWT memberi ganjaran kepada orang yang bangun sepertiga malam sebagai rahsia insan cemerlang hidup sejak dahulu dan sekarang, iaitu ALLAH akan mengangkat status dan nama kita di sisi ALLAH SWT.
Fazrul menegaskan bahawa solat itu penting untuk kita terus kekal dan bahagia. Hidup kita sekitar solat kerana solat itu tiang. Oleh itu jangan lengahkan solat. Apabila hidup di sekitar solat, ia menjadikan hidup kita menjadi kuat.
Apabila solat dapat didirikan tepat pada waktunya, bantuan ALLAH pun diberikan pada waktunya. Walaupun nasihat Luqman pendek, namun beliau telah siapkan anak dengan motivasi keimanan yang berasaskan solat.
“Maka ibu bapa perlu pasakkan solat sebagai tiang agama dalam diri anak. Solat penting untuk berjaya dunia dan akhirat,” katanya.

Sarapan pagi disediakan untuk peserta Rich
Close Menu