Sertai Kami Di Sini!
QURAN FOR LIFE PROJECT DI HOSPITAL

QURAN FOR LIFE PROJECT DI HOSPITAL

Hospital Putrajaya menjadi destinasi projek perintis bagi Quran For Life Project yang diinisiatifkan oleh Institute of Al-Shafie dalam memupuk kerohanian dan akhlak mulia berpandukan al-Quran.

Majlis perasmian Quran For Life Project disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan (KKM), Zainal Alhakab Seman di Hospital Putrajaya, Putrajaya, 26 April 2019.

Kakitangan Hospital Putrajaya menghadiri Majlis Pelancaran Quran for Life Project.

Beliau dalam ucapannya berkata, pihak KKM menghargai usaha dan iltizam Institute of Al-Shafie yang bakal menyerahkan sebanyak 39, 053 al-Quran sebagai menunaikan tanggungjawab sosial terhadap komuniti dengan menginfaqkan kepada sekurang-kurangnya 138 hospital.

“Kekuatan manusia dalam menghadapi cabaran hidup bukanlah bergantung kepada kebolehan berfikir secara rasional, malah jiwa yang tenang dapat menjadikan al-Quran sebagai sumber kekuatan rohani dan bergantung harap kepada ALLAH.”

“Kehebatan al-Quran sebagai penawar yang merawat minda dan jiwa memang tidak disangkal. Al-Quran dijamin oleh ALLAH tidak akan berubah hingga akhirat. Hidup akan lebih bermakna dan berbahagia jika kita mempunyai perspektif yang betul berpandukan al-Quran,” katanya.

Presiden Institute of Al-Shafie, Sheikh Ali Ahmed berkata, Quran for Life Project mendapat dana daripada pelajar, penderma, sukarelawan dari Institute Al-Shafi’e. Ia bertujuan memberi peluang kepada pesakit beragama Islam dan bukan Islam untuk mendekati al-Quran dengan mudah.

Sheikh Ali

Melalui hasil dana tersebut, Institute of Al-Shafie membeli sejumlah naskhah al-Quran terjemahan dalam bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Karya Bestari, di bawah Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd.

“Untuk menyebarkan al-Quran dan membacanya adalah antara tindakan terbaik oleh setiap Muslim untuk beribadah kepada ALLAH SWT. Apabila seseorang pesakit itu membaca al-Quran, ia akan memberi ketenangan serta penyembuhan yang berkesan dengan izin ALLAH SWT.

“Melalui perubatan moden, ia boleh mengubati penyakit. Namun begitu, apabila ia digabungkan dengan penyembuhan serta pemulihan perubatan kerohanian, maka ia akan menghasilkan perubatan yang lengkap dan menyeluruh.

“Kami yakin bahawa al-Quran mampu memberi ketenangan kepada pesakit yang  dalam kebimbangan dan kemurungan. Agama memberi kekuatan dan semangat kepada individu, di mana perubatan moden tidak mampu memenuhinya.”

Beliau menambah, antara perkara paling bermanfaat dalam projek ini adalah al-Quran mampu memberi harapan kepada pesakit. ALLAH SWT berfirman: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati jadi tenang dan tenteram.” (Surah Al-Ra’d: 28)

Sheikh Ali (tengah) menyampaikan al-Quran kepada Zainal Alhakab sebagai simbolik bagi Quran for Life Project dengan disaksikan oleh Dr Mohd Anis.

Hospital Putrajaya #QuranHour

Sempena Majlis Pelancaran Program Quran For Life Project , Hospital Putrajaya dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas menganjurkan sesi #QuranHour dengan bertadabbur Surah Al-Kahf.

Seramai 200 kakitangan hospital diperdengarkan dengan bacaan Surah Al-Kahf dari ayat 1 hingga 10 oleh Penolong Pegawai Makmal Hospital Putrajaya, Faizal Bahawi. Ia diikuti dengan sesi tadabbur yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.

Dari kiri: Fazrul dan Faizal dalam sesi Hospital Putrajaya #QuranHour.

Beliau berkata, Surah Al-Kahf memberi panduan kepada manusia untuk menghadapi cabaran akhir zaman dan memperolehi perkara terbaik dalam kehidupan. Al-Quran menjadi penawar, petunjuk, peringatan dan rahmah daripada ALLAH SWT kepada umat manusia.

“Ayat 1 dalam Surah Al-Kahf menunjukkan al-Quran sebagai nikmat besar ALLAH yang diberikan kepada kita. Al-Quran sebagai peringatan kepada kita. Dalam kehidupan kita adakalanya buat silap. Tetapi apabila ditegur, kita mungkin memberi respons semula secara positif atau negatif.

“Pesakit yang membaca al-Quran dan mendapat peringatan daripada ALLAH akan mudah dirawat oleh doktor dan jururawat. Rasa sedih dan kecewa pesakit akan diubati oleh al-Quran Asy-Syifa.

Sakit paling utama adalah penyakit di hati. Panduan Surah Al-Kahf menjadi petunjuk kepada segala perkara dalam kehidupan. Kita perlukan hidayah ALLAH untuk membuat keputusan.”

ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran (al-Quran) daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

Fazrul berkata tidak semua orang berasa dekat atau menghargai al-Quran. Dengan kerangka fikir kehambaan, maka dia boleh menerima al-Quran. Tanda seorang hamba apabila dia membaca al-Quran akan menjadi seronok. Jika tidak, mohonlah kepada ALLAH untuk menjadikan kita hamba.

“Al-Quran sebagai bimbingan lurus dan memberi peringatan azab siksa. Pada akhir zaman, kita menghadapi banyak cabaran untuk beriman. Orang yang beriman ada khabar gembira, buat kebajikan dan beramal soleh.

“Dengan mengingati ALLAH, jiwa menjadi tenang. Ditambah apabila kita membaca, memahami dan mengamalkan panduan al-Quran sebagai solusi kehidupan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, Dr Mohd Anis Haron @Harun dan Pengurus Perhubungan Strategik dan Komunikasi, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Nurhayati Nordin.

Surah Al-Kahf menjadi tema World #QuranHour 1440H yang berlangsung secara serentak di seluruh negara dan luar negara pada 30 Mei ini. Lokasi perdana World #QuranHour diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Close Menu