Join Us Here!

MISI AR-RAHMAN PUPUK KESANTUNAN DALAM MASYARAKAT

MISI AR-RAHMAN PUPUK KESANTUNAN DALAM MASYARAKAT

Tahun 1441H/2020 membawa misi World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour dengan bertemakan Misi Ar-Rahman 2020 dengan merujuk Surah A-Rahman. Ia bertujuan mengajak orang ramai kembali kepada keharmonian diri, keluarga, komuniti, negara dan dunia melalui kempen Uninstall Hatred, Reboot Malaysia & Global Harmony.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Dr Nooh Gadut ketika dihubungi oleh penulis (melalui WhatsApp) berkongsi ilmu dan pandangan mengenai tajuk “Kembalikan kesantunan Malaysia dan Global.” Beliau menjadi penyampai Pesan Kesantunan daripada Ulama pada Seminar Reboot Politeness Towards Malaysia & Global di Pagoh, Johor pada 23 November lalu.

Datuk Dr Nooh Gadut

 

Boleh Datuk jelaskan nilai kesantunan dalam Islam?

Prinsip utama agama Islam dalam kesantunan berkait rapat dengan peranan manusia sebagai khalifah iaitu memberi ajaran, nasihat, serta teguran. Ia perlu dikemukakan dengan cara baik dan meninggalkan kesan yang diharapkan serta tidak menimbulkan kemarahan, kebencian dan permusuhan.

Nilai dalam masyarakat Islam mempunyai hubungan tiga penjuru, iaitu hubungan manusia dengan Tuhan, manusia dengan manusia, dan manusia dengan alam. Nilai  paling utama adalah hubungan antara manusia dengan ALLAH SWT.Kita perlu menjauhi apa yang ditegah oleh ALLAH dan melakukan apa yang diperintah-Nya. Tidak ada suatu pun perbuatan dan tindakan manusia yang terlepas daripada penilaian ALLAH.

Bagaimana mempraktikkan nilai kesantunan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama?

Sirah Rasulullah SAW merakamkan pengalaman yang sangat hebat dalam menangani masyarakat majmuk. Kebijaksanaan Rasulullah SAW melalui Piagam Madinah merangkai kerjasama, menyatukan penduduk pelbagai pegangan dan fahaman agama, status ekonomi serta kaum dan kabilah. Baginda SAW memupuk hubungan harmoni, menyemai sifat saling menghormati, mempamer toleransi, merangkai hubungan produktif serta merangka strategi tanggungjawab pertahanan menghadapi musuh.

Islam mencorakkan kehidupan rakyat Malaysia. Dengan petunjuk Islam, Malaysia membangun dengan pesat dan harmoni. Islam memainkan peranan mewujudkan toleransi, keseimbangan, keadilan dan kesederhanaan dalam diri orang Islam yang peka terhadap keperluan dan aspirasi kaum lain. Kepelbagaian bangsa dan budaya itu sebenarnya penting untuk memakmurkan bumi ini. Apabila digabungkan dengan semangat, saling bantu-membantu, bertoleransi dan saling menyumbang ke arah kejayaan negara, maka kehidupan manusia akan aman dan sejahtera.

Pupuk perpaduan kaum dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah. – Gambar 123Rf

 

 Apakah panduan al-Quran dan Hadis berkaitan dengan kesantunan?

Al-Quran sebagai kitab suci yang lengkap dan mencakupi semua aspek ada mengemukakan prinsip-prinsip kesantunan. ALLAH SWT berfirman: “Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatatkan)” (Surah Qaf 50:18)

Berdasarkan ayat di atas, al-Quran mengemukakan prinsip bertanggungjawab menjaga lidah sebagai asas kesantunan. Lidah merupakan alat utama untuk bercakap. Bertanggungjawab menjaga lidah merupakan asas utama kesopanan berkomunikasi. Setiap individu mempunyai tanggungjawab menjaga lidah dengan mengucapkan perkataan yang baik dan untuk tujuan kebaikan.

Kesantunan dari sudut Islam menurut Nabi Muhammad SAW disebutkan melalui  beberapa hadis. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Bagaimana melahirkan masyarakat dan negara berbudi dan penyayang?

Dalam usaha untuk meningkatkan kesantunan di negara kita, ibu bapalah yang memainkan peranan yang penting untuk menunjukkan teladan yang baik dan mendidik anak sejak kecil dengan nilai-nilai murni.

Jika ibu bapa hanya mengambil ringan dalam pendidikan anak, akan timbul masalah besar melanda di negara kita. Ini kerana setiap pembelajaran itu bermula dari rumah dan ibu bapa haruslah sabar dalam mendidik anak-anak. Penerapan nilai-nilai murni dalam komunikasi, ucapan, pertuturan, panggilan, perlakuan dan pergaulan dapat dipraktikkan dalam institusi kekeluargaan; kemasyarakatan; pembelajaran dan perkhidmatan

Apakah saranan Datuk untuk membina nilai kesantunan generasi muda?

Semua rakyat Malaysia, terutama generasi muda, perlu menghayati konsep perpaduan. Setiap orang menerima keunikan orang lain supaya kita dapat hidup bersama dalam saling menghormati dan percaya. Ini kunci kepada negara yang aman dan kesejahteraan rakyat.

Belia yang dilengkapi nilai positif mampu mengubah negara menjadi tempat yang lebih baik dan dapat mempengaruhi rakan untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Mereka mesti berupaya mengambil inisiatif untuk menjadi pembina jambatan antara etnik untuk meningkatkan hubungan baik dalam masyarakat, meneutralkan politik kebencian, polarisasi kaum dan eksklusif kaum yang nampaknya semakin meningkat sekarang.

Bagaimana menyantuniorang yang berbeza pandangan dan latar belakang?

Perselisihan pandangan perlu diurus dengan penuh adab. Di antara adab mengurus perselisihan ini adalah merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah mengikut kaedah yang betul sebagaimana manhaj Rasulullah SAW dan para sahabat. Di antara punca perselisihan yang membawa kepada permusuhan adalah apabila pihak yang berselisih tidak mahu tunduk menyerahkan kebenaran itu kepada wahyu.

Permusuhan akan timbul jika perbincangan dibuat dengan tujuan untuk melihat siapa kalah dan siapa yang menang. Niat untuk mengalahkan pihak lawan akan membawa kedua-dua pihak ke arah mereka-reka hujah, menggunakan bahasa yang kasar dan kesat, penghujahan dipenuhi emosi dan lain-lain tindakan yang negatif. Tetapi sebaliknya jika tujuan perbincangan adalah untuk mencari kebenaran, perbincangan akan berlaku secara ilmiah, bahasa yang digunakan juga akan sopan dan tidak ada pihak yang akan terguris hati.

“Kegagalan masyarakat dalam mewujudkan keharmonian menyebabkan konflik, yang pada akhirnya membawa kepada krisis kemanusiaan.” – Datuk Dr Nooh Gadut

 

Apakah pendekatan dalam mengharmonikan rakyat malaysia?

Melihat kepada keadaan fitrah manusia dengan kepelbagaian budaya dan bangsa yang majmuk, maka Islam meggariskan beberapa kaedah untuk mempercepatkan hubungan dan perpaduan, antaranya adalah:

Pertama: Kita hendaklah mengenali titik persamaan dan menjaga sempadan pertikaian apabila adanya perbezaan. Sebagai contoh, seluruh bangsa cintakan sikap tolong-menolong, menjaga kehormatan dan ramah mesra. Maka semarakkanlah suasana tersebut kerana ia mampu menyatukan hati sesama manusia dan mewujudkan keharmonian.

Kedua: Kita hendaklah menjadi individu yang memulakan budaya senyum dan menyebarkan salam kepada sesiapa sahaja orang yang kita temui. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang lain sedang tidur, nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi).

Dalam Surah Al-Humazah ayat 1, ALLAH SWT melarang perbuatan mengumpat, mencela dan mengeji. Ini termasuk mencemuh, merendah, menyebut keaiban, memanggil dengan gelaran buruk, berburuk sangka. Perkataan buruk tersebut akan mengakibatkan kemurkaan ALLAH SWT dan menggugat hubungan sosial dalam masyarakat Islam dan bukan Islam.

 Apakah nilai lain bagi membangunkan rakyat dan negara yang harmoni?

Dalam soal memelihara keharmonian agama, masyarakat bukan Islam dan Islam mempunyai peranan sama penting. Di pihak bukan Islam, tuntutan mereka perlu munasabah dan rasional untuk mengelakkan pertembungan yang merugikan semua pihak. Sikap emosional, keterlaluan, fanatisme dan terlalu mementingkan diri perlu dibatasi dengan kewarasan dan rasionalisme yang bertunjangkan keadilan untuk semua.

Walaupun menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam menyelesaikannya. Memilih jalan konfrontasi dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan harus dielakkan bagi menjamin keutuhan sebuah masyarakat dan negara.

Kegagalan masyarakat dalam mewujudkan keharmonian menyebabkan konflik, yang pada akhirnya membawa kepada krisis kemanusiaan. Hakikatnya, kestabilan dan keharmonian yang sedia terjalin akan musnah kalau kita gagal memelihara keharmonian dan nilai yang dibawa oleh agama. Sebagai anutan majoriti, nilai Islam menjadi asas kepada membina keharmonian masyarakat di Malaysia dan seharusnya mendapat sokongan semua pihak.

Close Menu