Sertai Kami Di Sini!
PERPADUAN DALAM AL-QURAN

PERPADUAN DALAM AL-QURAN

OLEH FOUZIAH AMIR

Tanggal 28 Mei 2018, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPNIN) bersinergi dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk menganjurkan Perpaduan #QuranHour di pejabat JPNIN, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Penyelidik dan Modul WUIF, Fazrul Ismail berkongsi ilmu untuk mengenai perpaduan dalam al-Quran dalam program berinteraksi dengan al-Quran dengan tadabbur dan tazakkur.

Beliau berkata, usaha dan perjuangan JPNIN dalam membina perpaduan dan integrasi nasional merupakan intipati penting al-Quran.

Perkataan perpaduan disebut sebanyak 534 kali dalam al-Quran. Perpaduan lawan perkataannya adalah perpecahan. Surah yang dimulakan dengan Ha-Mim ada tujuh bermula dengan surah ke 40 hingga 45 (Surah Ghafir, Surah Fussilat, Surah Al-Syura, Surah Al-Zukhruf, Surah Ad-Dukhan, Surah Al-Jathiyah, dan Surah Al-Ahqaf).

“Perkara penting dalam surah-surah tersebut mengenai persatuan dan perpaduan. Surah yang ada Ha-Mim akan membincangkan perkara pertama iaitu membincangkan al-Quran sebagai sumber perpaduan. Makin ramai orang membaca al-Quran, makin ramai orang bersatu padu.

“Kedua, kisah Bani Israel iaitu umat Nabi Musa. Kita mengambil pengajaran daripada kaum tersebut yang tidak membaca al-Quran. Walaupun mereka mendapat pelbagai nikmat ALLAH SWT termasuk hidangan (maidah) dari langit tetapi berpecah belah.

“Ketiga, perpindahan daripada Bani Israel kepada umat Nabi Muhamad SAW, yakni ALLAH menggantikan kepada umat yang bersatu, tetapi dengan syarat kita ambil panduan daripada al-Quran.

“Keempat, seruan dalam surah yang dimulakan dengan Ha-Mim adalah seruan untuk bersatu atau perpaduan. Kelima, bagaimana kita hendak bersatu biarpun ada perbezaan seperti pendapat, status, fahaman politik. ALLAH memberi panduan untuk menguruskan perbezaan tersebut dalam al-Quran.”

 

Dalam sesi tadabbur dan tazakkur al-Quran, Fazrul mengupas Surah Ali ‘Imran ayat 103 hingga 105. Tiga ayat tersebut amat penting dalam menceritakan perpaduan.

ALLAH SWT berfirman: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali (agama) ALLAH, dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah nikmat ALLAH kepada mu ketika kamu dahulu (ketika jahiliah) bermusuhan, lalu ALLAH menyatukan hatimu, sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu ALLAH selamatkan kamu dari sana. Demikianlah ALLAH menerangkan ayat-ayat-Nya kepada mu agar kamu mendapat petunjuk.” (Surah Ali ‘Imran: 103)

Berpegang tali ALLAH

Menurut Fazrul, Surah Ali ‘Imran mempunyai 200 ayat. Ayat 1-120 bercerita tentang analisis orang berjaya. Dalam kisah zaman Rasulullah SAW, hubungan manusia yang paling mencabar adalah ketika perang untuk memberi arahan dan bersatu sebagai satu kumpulan atau sebuah negara.

Ayat 1 hingga 120 dalam Surah Ali ‘Imran menceritakan rahsia kemenangan. Ayat 121 hingga 200 mengenai kekalahan Perang Uhud, dan antara sebabnya kerana ada orang tidak bersatu padu.

Dalam konteks keluarga bersatu atau bercerai-berai, terdapat panduan dalam Surah Ali ‘Imran.

Tema Surah Ali ‘Imran mengenai bagaimana hendak menguatkan prinsip dalam kehidupan. Prinsip daripada ALLAH (al-Quran) membawa kebaikan kepada seluruh manusia. Manakala prinsip manusia hanya membawa kebaikan orang atau golongan tertentu.

Ayat 103 Surah Ali ‘Imran menyebut, untuk mencapai perpaduan, kita perlu berpegang kepada tali ALLAH. Dalam ayat ini menyatakan untuk mencapai perpaduan bersatu padu, perlu berpegang kepada tali ALLAH iaitu al-Quran.

“Manusia yang melayari kehidupan tanpa tali boleh menjadi lemas dalam kehidupan. Dengan berpegang kepada al-Quran, ALLAH menawarkan banyak bantuan. Inilah surah yang diturunkan untuk menyatukan penduduk dalam kalangan kaum Yahudi, Aus dan Khazraj di Madinah.

“Al-Quran menjadi panduan universal untuk membina perpaduan dalam masyarakat yang pelbagai kaum dan agama yang berbeza di dalam negara. Perbezaan dan perpecahan dua istilah berlainan. Berbeza tiada masalah asalkan jangan berpecah-belah, kerana ada ruang untuk bertemu.

“Apabila kita berpegang tali ALLAH, sebenarnya kita sedang membina negara yang lebih padu dan berjaya. Tugas warga JPNIN dilihat sebagai tentera ALLAH yang menyatupadukan masyarakat untuk mewujudkan keamanan. Ini adalah tugas mulia dan inilah nikmat yang diiktiraf oleh ALLAH.”

Beliau menambah, orang yang bermusuh bermaksud dia berada di neraka. Contohnya berlaku pertengkaran suami isteri. Ini menyebabkan ada yang rasa berat untuk pulang ke rumah kerana rasa ‘panas’. Oleh itu, kita perlu berdoa agar dikurniakan pasangan dan zuriat yang menjadi penyejuk mata.

Cabaran pendakwah

Fazrul berkata, tanda orang yang berpegang pada tali ALLAH adalah mereka yang menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Inilah orang yang berjaya sebagaimana disebut disebut dalam ayat 104, Surah Ali ‘Imran.

“Bersatu padu adalah formula untuk berjaya. Dalam seruan azan, “falah” bermaksud berjaya di dunia dan akhirat. Mengajak orang ramai ke arah perpaduan bukan tugas mudah kerana ia tidak nampak dari segi fizikal.

“Istilah dakwah adalah mengajak ke arah kebaikan. Ia bukan diukur pada jubah, serban dan bercakap bahasa Arab. Al-Quran memberi peluang kepada semua orang untuk berdakwah. Hatta seorang ibu yang mengejutkan anak bangun pagi untuk solat subuh boleh digelar pendakwah,” ujarnya.

ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai dan beselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat.” (Surah Ali ‘Imran: 105)

Bertadabbur daripada ayat tersebut, Fazrul berkata, orang berdakwah ada dua cabaran iaitu pertama dia boleh memecah-belahkan. Ini disebabkan timbul rasa dengki dan iri hati kepada orang lain yang berbuat kebaikan. Penyakit tersebut perlu diberi perhatian kerana menolak kebaikan orang lain.

Kedua, orang yang berilmu lebih mudah berselisih. Perbezaan pendapat itu tidak salah tetapi tidak boleh dinyatakan dalam bentuk seruan atau diperbesarkan, sehingga memecah-belahkan. Itu bukan kaedah yang dibenarkan untuk mencapai perpaduan.

Berkongsi kelebihan berinteraksi dengan al-Quran iaitu baca, faham dan amal, Fazrul berkata, orang yang mendengar bacaan al-Quran mendapat rahmat ALLAH.

“Ini bermaksud, mereka tiba-tiba mendapat pertolongan ALLAH untuk menyelesaikan masalah. Orang yang kurang mendengar al-Quran dalam kehidupan kurang mendapat rahmat.

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, ALLAH memberi lebih banyak ganjaran dan kebaikan kepada kita apabila membaca al-Quran. Semakin banyak hasanah daripada al-Quran, hati menjadi lebih bersih,” katanya.

Close Menu