Join Us Here!

MISKIN JADI MOTIVASI, KAYA JADI INSPIRASI

MISKIN JADI MOTIVASI, KAYA JADI INSPIRASI

“Kita perlu sedar keberkatan, kesempitan atau kemurahan rezeki bergantung kepada hubungan kita dengan ALLAH. Jika kita ada masalah hubungan dengan ALLAH, rezeki sempit.”

“Setiap dari kita sememangnya tidak pernah sunyi dari kesilapan dan ada kelemahan,namun Allah melihat bagaimana kita mengubah kesilapan dan mengatasi kelemahan itu dengan bertindak untuk menjadi menjadi lebih baik serta memperbaiki kekurangan itu agar lebih cemerlang” Mohamad Azlan.

MOHAMAD AZLAN

 

Demikian kata ikon usahawan muda yang kini kisah hidupnya ditulis serta dibukukan dengan tajuk “Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan”.

Mohamad Azlan Abdullah @ Ali ketika dihubungi oleh penulis turut bersyukur apabila Kisah pengalaman hidup beliau yang berasal dari keluarga miskin tegar namun kini bergelar jutawan, telah menjadi inspirasi kepada orang lain.

Anak kelahiran Besut, Terengganu ini menjadi tetamu istimewa untuk berkongsi pengalaman beliau meraih rezeki pada sesi Bersama Tokoh dalam program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) 2.0 bertajuk “Rezeki: Keluh kesah bila sikit, bakhil bila banyak” secara online pada 6.30 pagi di FB Live World Quran Hour pada 28 September 2019.

Mohamad Azlan memberi sumbangan 10,000 beg kepada pelajar kurang berkemampuan di Terengganu dan Kelantan

 

Beliau berkata, kita mesti melihat kemiskinan dan kedaifan yang menguji kita sebagai motivasi untuk membina kehidupan lebih baik dan menjadi orang berjaya. Apabila kita kaya dilimpahi kesenangan, jadikan ia sebagai inspirasi untuk hidup berbakti.

“Pendek kata, jadikan kemiskinan sebagai motivasi, jadikan kekayaan sebagai inspirasi. Untuk menjadi orang berjaya dengan murah rezeki, amalkan solat Dhuha. Apabila memperoleh rezeki, kita perlu bersyukur dan berbuat kebajikan dengan hidup berbakti.”

Antara pengalaman Mohamad Azlan yang tidak dapat dilupakan sewaktu melalui fasa kehidupan yang sukar, apabila beliau menjadi pengutip sampah di bawah kontraktor pembersihan selama 6 bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2005.

“Ketika itu, saya selalu membawa balik makanan kurang elok yang diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam dan ikan untuk keluarga. Suatu hari bila balik rumah, saya nampak emak menangis melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh.

“Dari situ, saya tekad untuk mengubah kehidupan kerana kasihankan emak saya. Emak menangis dan berdoa semoga saya mendapat peluang lebih besar.

“Saya menghargai jasa emak dan ayah, Siti Aishah Ismail, 57, dan Abdullah @ Ali Ahmad, 73, yang membesarkan kami 16 adik-beradik dan memberikan pendidikan walaupun serba kekurangan,” ujar peneraju syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd.

Keputusan beliau untuk tinggalkan rumah adalah demi membina kehidupan baru. Pertemuan dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan telah menjadi asbab pembukaan jalan rezeki Mohamad Azlan dalam bidang hartanah.

“Saya percaya kepada pemikiran positif pasti akan menghasilkan tindakan positif, seterusnya membawa kejayaan. Bila dan di mana, saya tidak tahu. Apa yang pasti kejayaan akan hadir apabila saya berusaha dengan betul,” katanya.

Selain mengikuti perkongsian pengalaman kehidupan Azlan lebih lanjut, orang ramai turut dijemput untuk menyertai sesi Tadabbur Surah Al-Ma’arij bersama Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pada RICH 2.0 online pada jam 4.30 pagi pada hari yang sama.

Mereka yang menyertai RICH 2.0 secara offline hadir pada jam 4.30 pagi di QTT, Tingkat 1, Bangunan Sinar Harian, Kumpulan Media Karangkraf, di sini, pada hari tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, RICH di bawah kempen My Family #QuranHour dianjurkan oleh WUIF dan Rumah Ngaji sejak 2014. Ia merupakan program pengisian rohani seawal jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi. Atkiviti yang diadakan berinteraksi dengan al-Quran, bertadabbur surah pilihan, solat Tahajud, solat Subuh dan resolusi untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita. Spiritual yang dibawa ini selari dengan saranan hadis.

MARHAINI

 

Daripada Abdullah bin Sallam RA berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia! Sebarkanlah salam, berilah makanan, sambung tali silaturrahim, dan solat ketika orang ramai tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat sejahtera.” (Riwayat Imam Tarmidzi)

Marhaini menambah, dengan mengikuti panduan Rasulullah SAW, kita dapat membina kekuatan dalaman diri untuk berjuang perkara benar. Kualiti tersebut diharap ada dalam kalangan Sahabah al-Quran, ejen perubahan kepada masyarakat.

“Sempena 1441H, RICH tahun keenam ini memberi panduan bagaimana memperoleh rezeki yang luas sebagaimana dijanjikan oleh ALLAH untuk membina keluarga dan masyarakat hingga ke Jannah. Sebelum ini, RICH memfokuskan tema “Masuk syurga sekeluarga”.

RICH diadakan pada setiap Sabtu jam 4.30 pagi selama 12 minggu bermula 21 Muharram 1441H bersamaan 21 September lalu. Lebih istimewa, orang ramai boleh menyertai RICH secara offline dan online.

“Saya berharap RICH dapat menjadi “keystone habit” kepada umat Islam dengan al-Quran, Solat dan Infaq (QSI). Kita sudah mulakan tabung infaq atau Tabung Quran di penghujung program RICH,” katanya.

Close Menu