Sertai Kami Di Sini!

 

MALAYSIA #QURANHOUR
UMMAH BERBUDI & PENYAYANG
29 Zulhijah 1440 H/ 30 Ogos 2019

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas melangkah ke tahun kelima dalam penganjuran Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos 2019. Ia diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2019.

Penganjuran Malaysia #QuranHour merupakan sebuah kempen “MengQurankan Bangsa dan MengIkhlaskan Ummah” dengan mengajak rakyat Malaysia yang berada di dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui Baca, Faham dan Amal sebagai kerangka fikir bangsa yang merdeka. 

Pada tahun 2019 ini, Surah Al-Kahf dipilih sebagai surah tema yang membawakan panduan untuk menghadapi cabaran akhir zaman. Pada World #QuranHour yang lepas, dalam gerakan berinteraksi dengan al-Quran di seluruh dunia, Surah Al-Kahf telah dikupas dalam konteks 4 kisah yang merujuk kepada 4 cabaran utama serta solusi berpandukan al-Quran iaitu; cabaran Iman, cabaran Harta, cabaran Ilmu dan cabaran kuasa. 

Menjelang kemerdekaan Malaysia kali ke-62 ini, Surah Al-Kahf ini akan terus dipasakkan sebagai pesan kemerdekaan berpandukan 10 ayat akhir Surah Al-Kahf dan kaitannya dengan 10 ayat awal. Daripada sini, terdapat 9 pesan utama buat warga Malaysia yang merdeka agar berpegang teguh kepada nilai-nilai yang ada di dalam al-Quran. 

Misi Al-Kahf  2019 diteruskan melalui penganjuran kali ini dalam usaha menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia tentang perubahan kerangka minda yang merdeka berteraskan Surah Al-Kahf . Cabaran dunia di era globalisasi memerlukan solusi; dan boleh ditangani melalui intervensi Ilahi melalui panduan dari al-Quran. 

Surah Al-Kahf  antara lainnya menfokuskan kepentingan syukur dan kehidupan akhirat yang lebih kekal berbanding kesenangan di dunia. Al-Quran yang ditadabbur adalah sumber hikmah dan penghayatan melalui tazakkur dapat menjadikan nilai-nilainya sebagai tindakan pelaksanaan yang dapat dikongsi secara harmoni oleh rakyat berbilang bangsa dan agama seperti dalam negara Malaysia. 

Usaha ini diharapkan dapat membawa masyarakat agar menjadikan al-Quran dan nilai yang diperolehi daripadanya sebagai solusi dan cara hidup seterusnya konsep Rahmatan lil Aalamiin dapat menjadi teras kepada kesepaduan ummah di Malaysia secara khususnya dan di seluruh dunia secara umumnya. 

Kemerdekaan yang dikemudi berpandukan nilai dengan petunjuk dari al-Quran akan berupaya memperkasa dan menggilap potensi setiap individu dalam masyarakat yang akhirnya, akan mewujudkan sebuah Negara yang Berbudi dan Penyayang, InshaAllah. 

Malaysia #QuranHour yang dianjurkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menyaksikan kolaborasi Media terutamanya Astro Oasis bersama rakan-rakan sinergi terdiri daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan, sektor korporat, institusi pengajian, organisasi dan individu bersolidariti bersama al-Quran tanpa mengira status politik, ekonomi dan sosial. 

Lokasi perdana penganjuran Malaysia #QuranHour adalah bertempat di Masjid Putra, Putrajaya dan akan diadakan penganjuran di seluruh Malaysia serta oleh rakyat Malaysia di luar negara. Rekod penganjuran #QuranHour sehingga Mei 2019 adalah lebih 3000 lokasi penganjuran berdaftar di dalam negara dan 300 lokasi di 70 buah negara dengan capaian media sosial sebanyak 1.46 bilion. 
 

WORLD #QURANHOUR
DUNIA BERBUDI DAN PENYAYANG
25 Ramadan 1440H/ 30 Mei 2019

#QuranHour merupakan sebuah kempen berimpak tinggi yang diinisiatifkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bertujuan menggalakkan setiap individu berinteraksi dengan al-Quran melalui Baca, Faham dan Amal. Ia adalah sebuah usaha menjadikan nilai-nilai mulia daripada al-Quran membentuk jiwa berbudi dan penyayang sehingga menjadi cara hidup seharian setiap insan. Kempen ini merupakan suatu inspirasi agar manusia mampu  melonjakkan potensi diri berlandaskan kerangka fikir al-Quran.

World #QuranHour pada 25 Ramadan 1440H bersamaan 30 Mei 2019 dengan tema Solusi Cabaran Sejagat” daripada Surah Al Kahfi pada tahun ini; adalah kempen membentuk landasan solidariti Ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran dengan mengambil semangat dan keberkatan 10 hari terakhir Ramadan. Ia adalah usaha membentuk komitmen untuk melakukan transformasi diri ke arah yang lebih baik .

Penghayatan surah ini dihasratkan memberi persediaan dari perspektif fizikal, emosional, intelek dan spiritual dalam konteks Qurani kepada masyarakat dalam menangani dunia era VUCA (Volatile, Uncertainty, Complexity, Ambiguity).

Kefahaman dari Surah Al-Kahfi InshaAllah menjadi benteng dan landasan agar Ummah berupaya mengemudi kehidupan mengikut panduan al-Quran dari kerangka digariskan oleh Allah S.W.T.

World #QuranHour menjadi asas penyatuan ummah tanpa mengambil kira perbezaan kedudukan, latarbelakang, ideologi, fahaman politik, ras etnik  mahupun agama; pemimpin mahupun rakyat. Sebaliknya al-Quran, adalah titik temu kebangkitan dan penyatuan Ummah hingga lahirnya sebuah dunia yang Rahmah, Berbudi dan Penyayang.

                     

STATE #QURANHOUR
31 Disember 2019

State #QuranHour pula bakal diadakan sempena Tahun Baharu pada 31 Disember setiap tahun agar pengisian Tahun Baharu ini berlandaskan agenda al-Quran. Dilaksanakan dengan hasrat memberi halatuju kepada setiap individu agar meneruskan islah memperbaiki diri dengan azam yang benar seperti yang dipandu oleh al-Quran.

MY FAMILY #QURANHOUR
#SAVINGFAMILIES
Sepanjang tahun

My Family #QuranHour adalah nadi kepada keseluruhan kempen yang dilaksanakan oleh WUIF.  Cabaran dunia tanpa sempadan, terhakisnya nilai kasih sayang serta toleransi dan tergugatnya keharmonian menjadikan kempen ini sebuah agenda penting dalam memperkukuhkan kembali institusi keluarga. My Family #QuranHour adalah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, satu ajakan untuk ‘Masuk Syurga Sekeluarga’ dengan definasikan peranan ayah, ibu, anak-anak dan datuk serta nenek mengikut acuan al-Quran.

Justeru, #savingfamilies merupakan perjuangan membina legasi 100 tahun dengan hasrat membentuk penyatuan ummah di bawah panji-panji al-Quran melalui pengukuhan hubungan kekeluargaan yang dilakukan dengan koloborasi bersama seluruh pihak berkepentingan termasuk organisasi korporat, sektor awam dan swasta, badan kerajaan dan bukan kerajaan, institusi pengajian, orang awam serta individu.

Gabungan strategik yang diwujudkan membentuk suatu rangkaian kerjasama kesemua pihak dengan mengambil kaedah teknologi komunikasi dan interaksi sosial yang digariskan oleh al-Quran sebagai panduan.

MY #QURANHOUR
JIWA BERBUDI & PENYAYANG
365 hari setahun

Kempen ini adalah untuk menggalakkan setiap individu berinteraksi dengan al-Quran sekurang-kurangnya 1 jam sehari selama 365 hari. Ini akan membentuk kerangka fikir al-Quran dan sistem operasi al-Quran dalam jiwa yang secara tidak langsung akan melahirkan akhlak al-Quran.

Penghayatan isi al-Quran berusaha digarap sepenuhnya dalam usaha mengangkat potensi dan kecemerlangan sebenar yang boleh dilahirkan oleh setiap individu melalui model Quran Tadabbur dan Tazakkur – HTE 114.
Ia digarap sepenuhnya daripada al-Quran dan As-Sunnah. Dengan memahami dan berinteraksi dengan al-Quran selama sekurang-kurangnya 1 jam sehari selama 365 hari setahun, al-Quran menjadi sumber bimbingan utama dan rujukan untuk meningkatkan jatidiri secara holistik dari aspek fizikal, emosi, spiritual, intelektual dan sosial.

Setiap langkah pengurusan cabaran yang adapatasi sepenuhnya berdasarkan Kempen #QuranHour ini telah disambut dengan wujudnya lebih 1300 Rumah Ngaji di seluruh negara yang ditubuhkan bermula tahun 2013. Rumah Ngaji menyediakan platform mendidik dan mengajak ummah bersama-sama membaca dan memahami al-Quran dalam suasana pembelajaran al-Quran secara percuma dan konsisten.

Menjelang 2022 WUIF mensasarkan peningkatan kalangan rakan sinergi, pertambahan Rumah Ngaji di dalam dan luar negara, pemantapan polisi organisasi-organisasi berteraskan al-Quran, pemerkasaan jurulatih dan pendidik al-Quran, pengukuhan dana pembangunan al-Quran, serta meningkatnya jumlah “family champion” yang dibentuk dari model pendidikan al-Quran. Sahabah al-Quran yang akan terus membawa misi dan visi yang sama menyumbang tenaga, idea dan kepakaran dalam menggerakkan kempen ini dengan niat #BuatKeranaAllah.

 

Close Menu