Join Us Here!

ALLAH DIDIK SAYA UNTUK BERI KEMAAFAN #UNINSTALL HATRED, REBOOT HARMONY – DR ABDUL MUNIM SOMBAT JITMOUD

ALLAH DIDIK SAYA UNTUK BERI KEMAAFAN #UNINSTALL HATRED, REBOOT HARMONY – DR ABDUL MUNIM SOMBAT JITMOUD

“Innalillahi wainnailaihirajiun” adalah kalimah pertama dilafazkan oleh bapa Allahyarham Salahuddin Jitmoud yang mati dibunuh di Lexington, Kentucky, sebaik sahaja menerima panggilan telefon sejauh 644 kilometer pada pukul 3 pagi, 19 April 2015.

Walaupun menyebut kalimah yang bermaksud “Sesungguh kita ini milik ALLAH dan sungguh hanya kepada-Nya kita akan kembali”, Dr Abdul Munim Sombat Jitmoud, 68, seakan tidak percaya dan berharap berita itu tidak benar ketika itu.

 

Abdul Munim berkongsi cerita mengenai pemergian seperti baru semalam berlaku. Foto – Mohd Izari Rosli /Sinar Harian

 

“Saya cubit tangan, terasa sakit. Ternyata saya bukan bermimpi. Saya masih terkejut menerima berita duka itu. Saya berjalan mundar-mandir dalam kegelapan di bilik sambil berulang kali menyebut Innalillahiwainnailaihirajiun. Kalimah tersebut menyerap ke dalam hati dan memberi kekuatan spiritual pada diri saya.”

Anak kelahiran Thailand ini mengimbas memori hitam empat tahun lalu dalam perkongsian pengalamannya pada Reboot Harmony Talk Series 1.0 di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, 21 Disember 2019. Program tersebut dihoskan oleh Coach Ridz atau nama sebenar, Mohd Ridzuan Abdul Ghani, Pengasas Soleh English Learning System PLT.

Abdul Munim (kiri) sempat bergurau dengan hos Coach Ridz.

 

“Subhannallah, anak kesayangan kami adalah milik ALLAH. Ini merasionalkan situasi saya pada masa itu. Salahuddin mengikuti jejak ibunya, Allahyarhamah Dr Jamilah Kolocotronis yang dijemput Ilahi pada 2013. Inilah fakta kehidupan apabila kita meninggal dunia kembali kepada ALLAH. ALLAH adalah Pemilik Salahuddin. Satu lagi ayat yang menenangkan hati saya ketika dalam keadaan krisis.”

ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (Muhammad): “Tidak ada akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH buat kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada ALLAH orang-orang yang bertawakal.” (Surah Al-Taubah: 51)

Setelah menghayati maksud ayat al-Quran tersebut, bekas pendidik yang berpengalaman 31 tahun di Amerika Syarikat ini sedar bahawa tiada sesuatu yang berlaku tanpa izin ALLAH. Apa yang berlaku kepada Salahuddin telah tertulis oleh ALLAH. ALLAH yang menjadikan kehidupan ini dan sebabnya. Jadi, kita perlu terima takdir tersebut kerana ALLAH Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Kita cintakan dan percayakan ALLAH, apa sahaja datang daripada-Nya pasti ada hikmahnya.

ALLAH SWT berfirman: “Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Iaitu) orang yang berinfak, pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan ALLAH mencintai orang yang membuat kebaikan.” (Surah Ali ‘Imran: 133-134)

Beliau merupakan bapa kepada enam anak iaitu Ahmad Mujahid, 38, Adam Omar, 36, Ibrahim Abdullah, 34, Musa Abdul Rahman, 30, Salahuddin Ayub, dan Noruddin Isa, 22. Hati beliau berasa tenang kerana ALLAH SWT memelihara anak kelimanya dari dunia yang penuh krisis hari ini. Tiada siapa yang lebih baik menjadi pelindung melainkan ALLAH SWT.

Abdul Munim bersama Allahyarhamah isteri, Jamilah (tiga kiri), dan lima daripada enam anaknya. Salahuddin paling kiri. 

 

Tanggal 7 November 2017, video Abdul Munim memaafkan tertuduh, Trey Alexander Relford, 24, yang terbabit pembunuhan anaknya di mahkamah di Amerika Syarikat menjadi viral. Tindakan beliau memaafkan dan memeluk anak muda itu menyentuh hati hakim dan mereka yang menyaksikan peristiwa tersebut.

Relford berhadapan dengan hukuman mati selepas mengaku bersalah kerana bersubahat dalam pembunuhan Salahuddin yang menghantar piza pada malam kejadian di Lexington, Kentucky. Beliau kemudian mendapat kemaafan dan pengurangan hukuman penjara selama 31 tahun.

Abdul Munim berkata beliau telah dilatih oleh ALLAH untuk mengajar kemaafan dalam kehidupan sebelum ini. Beliau berasa lega apabila urusan jenazah Salahuddin dipermudahkan. Kebiasaannya, kes bunuh mengambil masa sehingga 10 hari untuk pemeriksaan, penyiasatan dan kajian lebih lanjut.

Permergian Allahyarham Salahuddin diingati.

 

“ALLAH Maha Penyayang. Dalam masa beberapa jam, arwah telah dikebumikan. Saksi di sana pun ada orang katakan kepada saya anak syahid. Subhanallah, ALLAH Maha Pengasih. Memandangkan anak saya meninggal dunia dengan cara yang baik, kami mesti selamatkan nyawa lain.”

ALLAH SWT berfirman: “Oleh kerana itu, Kami tetapkan (satu hukum) bagi Bani Israel bahawa sesiapa membunuh seseorang, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan melakukan kerosakan di bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh semua umat manusia. Sesiapa memelihara kehidupan seseorang manusia, maka seakan-akan dia telah memelihara kehidupan semua manusia…” (Surah Al-Ma’idah: 32)

Abdul Munim berkata, ayat al-Quran tersebut memberi motivasi kepada dirinya. Beliau dapat melihat situasi yang berlaku dalam kehidupan melalui kaca mata al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Beliau turut mengingatkan kepada audiens bahawa tragedi yang membawa kita dekat dengan ALLAH adalah tragedi yang baik. Begitu juga dengan beliau dan keluarga semakin akrab dengan ALLAH rentetan kejadian yang berlaku kepada Salahuddin.

“Saya sangat bersyukur kepada ALLAH. Apa yang berlaku kepada gerak-geri dan kata-kata saya di mahkamah dengan izin ALLAH. Apabila melihat anak muda itu menangis dan meminta maaf, timbul rasa kasihan, kasih sayang dan rahmat ke dalam hati saya. Saya memberikan tisu kepada Relford, dan terus memeluknya seperti anak sendiri.”

Video yang menjadi viral apabila Abdul Munim memaafkan Relford pada 2017 – Sumber gambar Washington Post

 

“Noruddin yang selama ini tidak memaafkan pesalah akhirnya lembut hati untuk  memaafkannya. Saya rasa sangat bersyukur. Ya ALLAH dengan rahmat-Mu, memberikan kasih sayang kepada saya dan anak saya. Perkara yang mustahil boleh berlaku,” ujarnya sambil tersenyum.

Pada 19 Disember 2019, Abdul Munim yang berkunjung ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) 2019 telah dianugerahkan Ikon Rahmatan Lil Alamin yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Kompleks Islam Putrajaya.

Ketika ditanya reaksi beliau apabila mendapat penganugerahan tersebut, dengan rendah hati beliau berkata, “Ikon Penyayang adalah Rahmat ALLAH, bukan kemampuannya untuk melakukannya. Saya bersyukur atas rahmat ALLAH.”

Sifat lemah lembut dan penuh berhemah Abdul Munim amt menyenang para hadirin program Reboot Harmony Talk Series 1.0. Beliau sempat berpesan kepada ibu bapa untuk membina rumah sebagai tempat paling disukai ALLAH selain masjid.

“Untuk menjadikan Rumahku SyurgaKu, kita perlu mengisi dengan persekitaran iman termasuk solat, ilmu al-Quran, Hadis, Sirah, halaqah dan musyawarah yang mendekatkan ahli keluarga kepada ALLAH dan Rasulullah SAW. Untuk ke akhirat dan ke syurga, kita perlu praktikkan dari sekarang.

“Saya suka hidup dalam Islam sebab mencintai Islam dan mempromosikan keindahan Islam kepada jiran yang Muslim dan bukan Islam. Seperti Nabi Ibrahim yang bermusafir ke seluruh dunia untuk membawa mesej ALLAH kepada manusia. Begitu juga dengan kami yang merantau ke 50 negeri dan bina sekolah agama. Jika saya tiada, saya mahukan anak kami menjadi uswatun hasanah.

Kempen Uninstall Hatred, Reboot Harmony mengajak orang ramai kembalikan keharmonian dengan membuang rasa benci.

 

“Cara kami mempraktikkan Islam dengan melakukan dakwah melalui tindakan. Terjemahkan iman kepada perbuatan. Iman dan amal umpama dua kepak burung. ALLAH terima. Inilah formula untuk ke syurga,” katanya.

Reboot Harmony Talk anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Rumah Ngaji, Sinar Harian dan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd diadakan sempena Kempen Reboot Malaysia & Global Harmony ke arah Misi World #QuranHour pada 13 Mei ini bersamaan dengan 20 Ramadan 1441H dan Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini.

Abdul Munim bersama peserta program Reboot Harmony di Kumpulan Media Karangkraf Sdn.

 

Bertadabbur Surah Ar-Rahman dan Surah Al-Kahf ayat 19, ia mengajak orang ramai untuk mengembalikan keharmonian Malaysia dan Global. Untuk maklumat lanjut boleh layar https://www.facebook.com/WorldQuranHour.

 

 

 

Close Menu