Sertai Kami Di Sini!
JIHAD AMBIL MAKANAN HALAL

JIHAD AMBIL MAKANAN HALAL

OLEH: FOUZIAH AMIR

 

“Anak perlu dididik untuk menahan diri daripada makan makanan yang tidak jelas sumbernya dan mengawal pengambilan makanan. Ia merupakan jihad dalam proses pendidikan jati diri.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Datuk Nadzim Johan berkata demikian dalam perkongsiannya pada program Bedah Buku Masuk Syurga Sekeluarga siri ke 6, anjuran Rumah Ngaji @Laman 83, di Stesen 83, Bukit Jelutong, Shah Alam, 13 Januari lalu.

Datuk Nadzim berkongsi maklumat dengan peserta Sesi Bedah Buku Masuk Syurga Sekeluarga.

 

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai aktivis di PPIM, boleh dikongsikan dengan dikaitkan dengan pembangunan keluarga. Alhamdulillah, saya cuba mempraktikkan dalam keluarga saya untuk mengawal pengambilan pemakanan di zaman ini dan pengalaman ini boleh dimanfaatkan kepada orang lain.

“Antara masalah besar dalam masyarakat hari ini adalah masalah keluarga berkaitan dengan pemakanan. Kebanyakan keluarga Islam begitu tercabar dengan pelbagai perkara yang di luar jangkauan fikiran.

“Menjadi fenomena masyarakat suka membelanjakan wang hingga ribuan ringgit untuk makan. Tetapi kebanyakan kita tidak meneliti sumber makanan halal atau tidak. Makanan yang tidak halal menjadi punca kelemahan diri. Kita perlu berhati-hati dengan budaya makan yang lemah ini.”

Beliau menambah, mengawal makanan menjadi subjek penting dalam mendidik ahli keluarga. Ia merupakan pertahanan utama yang perlu diperkukuhkan kerana makanan membentuk diri kita.

Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik anak sejak kecil agar bijak mengawal diri daripada memakan apa sahaja. Bermula sekarang, kita perlu ‘jaga’ dapur dengan membeli dan menyediakan makanan daripada sumber yang halal dan bersih.

 

Gambar hiasan. Didik anak untuk bijak memilih makanan yang halal dan baik.

 

“Kita perlu teliti pemakanan sebagai perjuangan yang perlu disampaikan kepada anak agar mereka faham. Ini bermakna, hidup bukan untuk makan. Sebagai orang Islam, hendaklah berjuang. Tetapi jika hati tidak cukup kuat disebabkan makanan yang tidak halal, perjuangan itu menjadi sukar,” katanya.

JIHAD EKONOMI ISLAM

Nadzim menyatakan makanan yang halal dan baik adalah perkara paling penting di rumah kerana mempunyai keberkatan selain faktor kesihatan. Kita juga perlu berhati-hati untuk makan di restoran atau gerai makan.

Ada restoran yang tidak bertulis halal, tetapi disebabkan melihat ada orang bertudung makan, jadi kita pun makan. Terdapat juga restoran yang mempunyai sijil halal tetapi cara penyediaan bahan makanan tidak bersih.

“Saya menyeru agar keluarga mampu kawal diri dalam memilih makanan yang baik untuk membentuk jati diri. Seterusnya, penjanaan ekonomi yang kuat kalangan umat Islam di mana kita sepatutnya makan di tempat orang Islam dan menggunakan produk buatan orang Islam.

“Jika kita gagal melaksanakan ekosistem tersebut, anak cucu kita mungkin terpaksa melalui kesukaran kelansungan hidup. Ini boleh terjadi disebabkan kelalaian sendiri. Oleh itu, kita perlu ada keinsafan untuk berkongsi rezeki sesama orang Islam.

“Saya berharap kita dapat memperjuangkan ekonomi bermula keluarga sendiri. Jangan mudah terpedaya dan buatlah kajian terhadap sumber makanan sebelum diberikan kepada keluarga kita. Mudah-mudahan anak yang dididik bercambah ke arah kebaikan,” katanya.

Lebih 70 peserta mengikut sesi Bedah Buku Masuk Syurga Sekeluarga siri ke 6 yang disampaikan oleh Penasihat Modul Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein. Program tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kupasan ilmu kekeluargaan yang membawa masuk ke syurga.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari di www.facebook.com/savingfamilies2017/.

Close Menu