Sertai Kami Di Sini!
ISLAMICRUISE #QURANHOUR DI SAMUDERA

ISLAMICRUISE #QURANHOUR DI SAMUDERA

OLEH FOUZIAH AMIR

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud “Ya Siin. Demi al-Quran yang penuh hikmah. Sesungguhnya kamu benar-benar termasuk yang diutuskan (para rasul). Di atas jalan (para nabi) (tauhid dan petunjuk) yang lurus. Diturunkan (oleh) Yang Maha Perkasa Maha Penyayang…” (Surah Yasin: 1 – 5)

Lantunan bacaan ayat suci al-Quran yang lunak oleh Johan Qariah Tilawah Al-Quran 2009, Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman memenuhi ruang Festival Theatre, kapal mewah Costa Victoria. Ia bukan sahaja menjadi halwa telinga peserta Muslimah yang mengikuti program IslamiCruise #QuranHour, malah menyentuh hati untuk berinteraksi dengan al-Quran.

Beliau bersama Penggerak Gabungan Rumah Ngaji Selangor, Ustazah Norizan Md Nata dan isteri kepada Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datin Jamilah Yahya merupakan pembawa panji Surah Yasin yang memperdengarkan bacaan 83 ayat secara bergilir dalam program tersebut.

Bacaan mereka diselang-selikan dengan sesi tadabbur dan tazakkur Surah Yasin yang dibawakan oleh Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein. Ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami dan mengamalkan mesej yang disampaikan oleh ALLAH SWT dalam surah tersebut.

Program IslamiCruise #QuranHour dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dan IntraTama Travel Consultant & Tours (M) Sdn Bhd sebagai penganjur Pelayaran Islamik 25.0. Ia menyahut kempen My Family #QuranHour dan #Saving Families.

Seramai 1011 penumpang dari Singapura – Laut Terbuka – Banda Aceh – Laut Terbuka – Singapura pada 26 November 2017. Pelayaran berkonsep islamik telah dianjurkan sebanyak 24 kali sejak diperkenalkan dan didaftarkan pada 2014. Ia merupakan cetusan idea pemilik dan pengasas Pelayaran Islamik, Suhaimi Abd Ghafer.

Dari kanan, Safri bersama Pembawa Panji Surah Yasin. Jamilah, Norizan dan Sharifah Khasif

Pada program IslamiCruise #Quran Hour tersebut, Safri berkata, al-Quran yang diturunkan oleh ALLAH dapat menyatukan hati manusia di permukaan laut yang sangat luas. Isi kandungan al-Quran merangkumi perkara akidah, sejarah dan hukum-hakam yang disampaikan oleh ALLAH. Orang yang beriman apabila dibacakan ayat al-Quran, hatinya bergetar sebagaimana disebut dalam ayat 2, Surah Al-Anfal.

“Surah Yasin dalam masyarakat Melayu sering diperdengarkan di masjid atau surau. Selalu ditanya, siapa yang meninggal dunia? Meskipun surah tersebut selalu dibaca, namun berapa ramaikah yang pandai memahami maksud dan menghafaznya?

“Di saat manusia dilanda gunda gulana dengan pelbagai masalah, Surah Yasin dibaca untuk mendapat ketenangan. Oleh itu, letaklah Surah Yasin di dalam hati. Isi kandungan surah tersebut mengenai kebesaran ALLAH, kisah sejarah, hukum-hakam, dan dalil.”

Beliau menambah, Yasin merupakan huruf muqatthaah yang dibaca menyentuh hati. Huruf al-Quran ada mukjizat yang tidak akan dapat ditandingi mana-mana manusia, hatta jin dan syaitan tidak mampu mendatangkan keindahan ayat sebegitu.

Terdapat 29 surah mempunyai huruf muqathaah. ALLAH SWT memulakan surah dengan huruf muqathaah kerana menyampaikan sesuatu terpenting sebagai peringatan dan perhatian.

Tugas dakwah
Safri berkata, dalam Surah Yasin ayat 1 dan 2 : “Ya siin, demi al-Quran yang penuh hikmah.” Al-Quran adalah suatu kebijaksanaan, rahmah dan hikmah yang ALLAH berikan kepada kita. Untuk mendapat hikmah, lidah harus dibasahi dengan al-Quran. Hikmah yang bersumberkan al-Quran, ALLAH memberi tenaga di luar jangkaan manusia.

ALLAH SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan al-Quran kepada umat manusia dalam tempoh 23 tahun. Bahkan Baginda SAW memberi pandangan dan keterangan kepada sahabat agar al-Quran menjadi pegangan hidup setiap insan.

“Untuk menjadi ayah, ibu, anak, datuk dan nenek yang kuat dan mantap, jadikanlah al-Quran sebagai bahan bacaan, renungan dan tadabbur. Orang yang tidak mahu bertadabbur al-Quran melalui baca, faham dan amal, hatinya mati atau ditutup oleh ALLAH SWT.

“Hati mati kerana tidak diisi dengan al-Quran, tetapi dipenuhi dengan kehidupan dunia. Apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran, mereka buat tidak tahu. Jika ingin hati dihidupkan semula, maka dia perlu kembali kepada al-Quran.”

Beliau menambah, dalam ayat 13 hingga 32, Surah Yasin, kata Safri, ALLAH menyampaikan kisah dahulu, sekarang dan akan datang. Dalam diri kita perlu ada kekuatan untuk menyampaikan risalah dakwah dengan penuh kesabaran.

Oleh itu ALLAH menegaskan bahawa siapapun kita dan apapun cabaran mendatang, dakwah mesti diteruskan dan disampaikan kepada sesiapa sahaja. Ini bermakna dakwah adalah tuntutan ALLAH.

Daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikanlah daripadaku walau hanya satu ayat” (Riwayat Bukhari)

Ayat 20, Surah Yasin mengisahkan seorang pemuda dari hujung kampung yang datang berdakwah, tetapi dibunuh oleh penduduk. Walaupun sudah meninggal dunia, dia masih bertanya kenapa mereka tidak mahu terima dakwah yang disampaikannya.

Safri menerangkan ayat 25 merupakan satu ikrar “Sesungguhnya saya beriman…” kepada ALLAH. Untuk beriman kepada ALLAH, maka kita perlu menerima apa yang disampaikan dalam al-Quran. Setelah kita beriman, ganjaran diberikan kepada kita adalah syurga.

Program IslamiCruise #QuranHour diadakan d Festival Theatre

Oleh itu kita perlu ajak semua ahli keluarga untuk beriman kepada ALLAH dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan agar masuk syurga sekeluarga.
Safri bertadabbur dan bertazakkur ayat 33 hingga 47 Surah Yasin yang menceritakan kekuasaan dan kebesaran ALLAH SWT. Contohnya, lebih 1000 orang berada di atas kapal 14 tingkat berlayar di atas samudera yang luas. Walaupun berada di atas lautan, namun kita dapat menikmati pelbagai makanan yang enak. Inilah tanda kehebatan ALLAH.

“Oleh itu, kita memohon kepada ALLAH demi keselamatan dan keselamatan untuk perjalanan pergi dan kembali ke pangkuan keluarga. Untuk mendapat nikmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka daripada ALLAH, dengan syarat kita perlu bersyukur.

“Syukur di atas segala nikmat ALLAH yang diberikan kepada kita. Jika tidak syukur, ALLAH tidak rugi. Jika kita bersyukur kepada ALLAH, ia akan dikembalikan kepada kita dan ditambahkan rezeki. Dalam Surah Luqman ayat 12 mengisahkan Luqman yang menasihati anaknya agar bersyukur.”

Merujuk ayat 48 hingga 68, kata beliau, ALLAH memberi ganjaran kepada orang mukmin dan orang kafir. Ketika ALLAH menunjukkan siksaan orang kafir menginginkan ia diselesaikan dengan cepat kerana tidak tahan berada di Padang Mahsyar. Manakala orang beriman menerima ganjaran ALLAH SWT iaitu syurga. Mereka boleh memilih buah-buahan dan disediakan bidadari.

Beliau berkata, sesiapa yang diberi ALLAH untuk beribadah, itulah lambang kecintaan ALLAH kepada kita. ALLAH tunjukkan kecintaan kepada kita apabila dibangunkan sepertiga malam untuk beribadah. Ada juga kalangan mereka yang semakin berusia, semakin rajin beribadah berbanding waktu mudanya.

Surah Yasin ayat 68, ALLAH menyebut mereka yang dipanjangkan umur akan dikembalikan di awal kejadiannya oleh ALLAH SWT. Dia menjadi lemah, rambut memutih, penglihatan kabur, pendengaran sayu dan kulit berkedut. Inilah sunnatullah dan berlaku kepada sesiapa sahaja. .

Ayat 70 hingga 83 Surah Yasin memberitahu jika ALLAH menginginkan sesuatu kepada kita, ALLAH kata jadi, maka jadilah. Oleh itu kita hendaklah meraih keredaan ALLAH. Di penghujung ayat ini sangat indah. ALLAH SWT berfirman: “Maha Suci (ALLAH) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan. “

Di saat ALLAH berkuasa di atas kita, bererti kita lemah di hadapan ALLAH. Maka kita selalulah sebut ininnalillahiwainnailaihirojiun, agar meraih keinsafan dalam diri dan berasa ALLAH sentiasa perhatikan kita.

“Kesimpulan daripada bertadabbur dan bertazakkur Surah Yasin, pertama apa yang kita perlu lakukan adalah mengaku kebesaran ALLAH SWT melalui ayat al-Quran yang diturunkan oleh ALLAH SWT.

“Kedua, kita perlu sampaikan risalah ALLAH (al-Quran) kepada seluruh manusia. Ketiga, mengakui kekuasaan dan kebesaran ALLAH SWT atas anugerah nikmat kepada kita.

“Keempat, setiap amal ibadah yang nampak atau tidak, akan diberi ganjaran oleh ALLAH. Kelima, tanamkan dan kukuhkan iman kita kepada ALLAH di samping Rukun Iman yang keenam.

“Harapan agar kita termasuk orang yang mendapat kemenangan yakni terlepas daripada api neraka dan masuk syurga,” katanya.

Close Menu