Sertai Kami Di Sini!
HIDUPKAN HATI YANG MATI

HIDUPKAN HATI YANG MATI

OLEH: FOUZIAH AMIR

Kehilangan anak adalah satu ujian besar daripada ALLAH. Inilah yang dirasai dalam kalangan ibu bapa dan waris kepada 23 mangsa terkorban dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur pada 14 September 2017.

Kini setahun berlalu, Majlis Amal Imbasan Malaysia Menangis “Kisah 23 Syuhada” anjuran Persatuan Kebajikan Tahfiz Malaysia diterajui oleh ibu bapa dan waris mangsa kebakaran.

Pada majlis tersebut diisi dengan sesi #QuranHour atau berinteraksi dengan al-Quran melalui tadabbur dan tazakkur (QTT). Guru dan pelajar Darul Quran Wal Hadith As Sofa sebagai Pembawa Panji Surah Luqman telah memulakan bacaan dengan Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5, kemudian diikuti Surah Luqman.

USTAZ MOHD HARFIZ

Pengurus Latihan & Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Ustaz Mohd Harfiz Hamzah sebagai pentadabbur berkata, Surah Al-Fatihah merupakan sinopsis daripada 114 surah dalam al-Quran. Surah tersebut dibaca minimum 17 kali dalam solat lima waktu setiap hari.

“Bertadabbur Surah Al-Fatihah berkaitan dengan kejayaan, diharapkan kita menjadi umat paling berjaya. Ini diikuti dengan Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5 yang menjadi panduan untuk membina  karakter seorang pemimpin yang teguh.

“Surah Luqman dijadikan panduan kepada ibu bapa untuk mendidik anak. Ayat 1, “Alif Lam Mim” salah satunya menunjukkan hanya ALLAH yang Maha Mengetahui dan saya tidak tahu.

“Mendidik anak sebenarnya bukanlah mudah. Apabila kita menyerahkan urusan kepada ALLAH dengan mengambil panduan daripada ALLAH SWT, iaitu al-Quran sebagai Kitab yang penuh hikmah, insya-ALLAH, tugas ibu bapa menjadi mudah.

“ALLAH yang Maha Bijaksana memberi panduan melalui al-Quran untuk mencapai kejayaan lebih jauh daripada apa yang kita jangkakan,” katanya.

 

Keampunan ALLAH

Beliau berkongsi kisah Rasulullah SAW dan sahabat pergi ke Makkah tetapi dihalangi oleh orang kafir untuk memasuki Masjidil Haram. Mereka disuruh pulang ke Madinah. Ketika itu, Saidina Umar RA berasa amat marah.

Sekembali ke Madinah, Rasulullah SAW memanggil Umar RA dan membacakan Surah Al-Fath dalam ayat 1 dan 2 yang mengkhabarkan kemenangan yang dikaitkan dengan keampunan daripada ALLAH SWT.

Mohd Harfiz berkata, “Mengikut logik akal, kemenangan seharusnya apabila dapat masuk kota Makkah pada tahun tersebut, namun berlaku sebaliknya. Ia seolah tidak signifikan dengan Surah Al-Fath. Namun pengajarannya, kemenangan dalam hidup kita adalah dapat menghidupkan hati apabila mendapat keampunan ALLAH SWT.

“Ayat 2, 14 dan 29 dalam Surah Al-Fath adalah ayat pembuka, pertengahan dan penutup bagi menerangkan keampunan ALLAH SWT.

“Ini menggambarkan kemenangan yang dicapai oleh Rasulullah SAW dan para sahabat sehingga kesannya hari ini kita dapat masuk ke Makkah untuk menunaikan haji dan mendapat keampunan daripada ALLAH SWT,” katanya.

Mohd Harfiz berkata, peristiwa 23 orang terkorban itu mampu mencetuskan kesedaran diri iaitu “apa yang saya perlu lakukan dalam hidup ini untuk masuk ke syurga?” Surah AL-Baqarah ayat 4 dan 5 memberi panduan untuk menghidupkan hati dengan menjaga al-Quran, solat, dan infaq (QSI).

Untuk menghidupkan hati yang mati, kembali kepada al-Quran untuk dijadikan panduan hidup. Semakin banyak membaca al-Quran, kita semakin berhikmah dalam membuat kebaikan.

 

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Alif Lam Mim. Inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah. Sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Luqman: 1-3)

Antara kaedah menghidupkan hikmah dalam keluarga adalah syukur. Orang yang bersyukur akan berasa mencukupi nikmat yang ada. Dengan bersyukur, ALLAH SWT akan menambahkan nikmat kepada kita, sebagaimana disebut dalam Surah Ibrahim ayat 7.

“Ibu bapa yang bersyukur akan memanggil anaknya dengan rasa kasih-sayang. Manakala anak yang bersyukur akan menghormati kedua orangnya. Mudah-mudahan kita melahirkan keluarga bersyukur.

“Surah Luqman ayat 12, 16 dan 17 merakamkan dialog Luqman yang memanggil anak dengan sebutan “Ya bunaya”. Ini adalah panggilan dengan kasih sayang.

“Anak ketika kecil dididik dengan kasih sayang. Apabila meningkat remaja, anak menghormati ibu bapanya. Apabila sudah ada kasih sayang dan hormati, maka anak dan ibu bapa boleh berinteraksi dengan baik dan berkesan,” katanya.

Amal cara hidup Islam

Mohd Harfiz melontarkan soalan: “Adakah pemergian 23 syuhada itu menjadikan saya semakin damai dan sejahtera? Bagaimana untuk saya sejahtera?” Jawapan tersebut dikaitkan dengan perkataan salam, Islam dan silm yang bermaksud kedamaian dan kesejahteraan.

Surah Luqman ayat 22 menunjukkan kaedah untuk mencapai ketenangan dan kedamaian diri adalah kembali kepada cara hidup Islam. Surah Luqman memberi panduan mendidik anak secara berhikmah dan bijaksana.

Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan ajaran Islam benar-benar dihidupkan dalam keluarga, seterusnya organisasi dan masyarakat untuk mencapai kedamaian dan kesejahteraan. ini juga disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 208.

Mohd Harfiz berkata, ayat 20, 29 dan 39 dalam Surah Luqman dimulakan dengan “Tidakkah kamu memperhatikan…” Ini dapat difahami, ALLAH mengajak kita untuk berfikir dengan menggunakan pendekatan “coaching”, iaitu seseorang bertanya soalan yang betul daripada memberikan jawapan yang betul.

“Ibu bapa selalu menghukum anak jika ada kesalahan dan kesilapan. Begitu suami terhadap isteri atau sebaliknya. Untuk menangani situasi tersebut, gunakan kaedah “coaching” yang boleh membimbing seorang berfikir dan mendapat jawapan sendiri. Contohnya:

Suami: “Iza, kenapa sedih, malam ini nampak murung sahaja?

Isteri: “Saya teringatkan anak kita yang dah pergi. ”

Suami: “Bagaimana keadaan mereka ya Iza?”

Isteri: “Semoga anak kita tenang di sana.”

Dengan saling bertanya dalam keluarga ia dapat melahirkan rasa tenang dan bahagia. Janganlah kita memperlekehkan soalan daripada ahli keluarga. Ia sebenarnya dapat menghidupkan hati yang mati dan menambahkan hikmah dalam keluarga kerana masing-masing semakin berfikir.

Kesimpulannya, untuk membentuk keluarga semakin berhikmah, pertama bersyukur kepada ALLAH SWT; kedua, mengamalkan ajaran Islam dalam keluarga; dan ketiga, mengajak ahli keluarga sentiasa berfikir dengan menggunakan keadah “coaching”.

Close Menu