Sertai Kami Di Sini!
FAHAMI CABARAN DAN SOLUSI SURAH AL-KAHF

FAHAMI CABARAN DAN SOLUSI SURAH AL-KAHF

 

OLEH: FOUZIAH AMIR

SHAH ALAM – World Convention Al-Kahf mengajak orang ramai untuk menyertai sesi tadabbur bagi memahami lebih mendalam Surah Al-Kahf sebagai panduan dan solusi menghadapi cabaran akhir zaman.

Fazrul Ismail, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

 

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkata, sesi taddabur Surah Al-Kahf untuk baca, faham dan amal disampaikan oleh empat pentadabbur.

“Untuk amal, kita perlukan proses untuk memahami iaitu tadabbur. Berdasarkan Surah Sad ayat 29, al-Quran diturunkan sebagai Mubarak (penuh berkat) untuk kita tadabbur dan tazakkur.

“Secara ringkasnya, tadabbur adalah apa mesej yang ALLAH sampaikan, manakala tazakkur apa peringatan dan praktikal daripada ayat yang disampaikan.”

Beliau menambah, apabila kita melihat Surah Al-Kahf tentang perlindungan akhir zaman, dalam keadaan ekonomi, politik, sosial, agama dan perkauman yang tidak menentu berlaku dalam dunia sekarang, ia menyebabkan kita rasa tertekan.

“Surah Al-Kahf memberi kesan dan solusi kepada umat Islam dan orang bukan Islam. Terdapat empat cabaran spiritual, fizikal, ilmu dan kuasa yang dilihat kacau-bilau.

“Namun, insya-ALLAH, dengan berpandukan Surah Al-Kahf, kita sentiasa melihat khabar gembira kepada orang beriman, bahawa ada ganjaran di sebalik cabaran yang ada jika kita terus beramal soleh,” katanya.

World Convention Al-Kahf diadakan di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 17 April lalu bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang. Konvensyen tersebut akan dimulakan dengan Sesi Pesan Ulama’ bertajuk “Ibrah dari al-Quran: Rahmatan Lil Alamin” oleh Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Sesi Tadabbur Al-Kahf “Solusi Cabaran Sejagat” akan memperdengarkan bacaan Surah Al-Kahf oleh qari iaitu Ustaz Khalid Isa, Ustaz Chep Ma’mun, dan Ustaz Hassan Fadzli dengan diikuti tadabbur ayat tersebut.

Selain Fazrul, pentadabbur lain ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran & Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Anuar Hasin; Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin; Pensyarah Jabatan Quran & Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Habeeb Rahman Ibramsa.

“Setiap pentadabbur akan menceritakan empat cabaran. Pertama, cabaran keimanan dan kepercayaan, contohnya orang memanipulasikan agama. Kedua, cabaran harta dan anak. Bagaimana hendak menguruskan anak dan harta agar tidak menjadi liabiliti tetapi aset sehingga ke syurga.

“Ketiga, cabaran ilmu iaitu belajar ilmu untuk menjadi orang pandai dan aset yang bermanfaat ke syurga. Keempat, cabaran kuasa di mana usaha dan kerja keras pemimpin atau penguasa mendapat balasan syurga.

“Pentadabbur akan menceritakan isu yang berlaku sekarang dan solusi yang dibawa oleh Surah Al-Kahf. Diharapkan peserta lebih menghargai Surah Al-Kahfi selepas mengikut World Convention Al-Kahf,” katanya.

 

Close Menu