Join Us Here!

KAEDAH TAKHALI, TAHALI & TAJALI UNTUK BUANG RASA BENCI #UNINSTALLHATRED #REBOOTHARMONY

KAEDAH TAKHALI, TAHALI & TAJALI UNTUK BUANG RASA BENCI #UNINSTALLHATRED #REBOOTHARMONY
Sumber gambar: 123RF

“Ish.. bencinya tengok dia”. “Aku ni dah cukup baik. Solat cukup, puasa penuh dan suka bersedekah”. “Saya nak jadi baik tapi tak tahu bagaimana hendak berubah”. Ini antara kata-kata yang berperang dalam diri. Prasangka kepada orang lain, anggap diri sudah cukup baik dan ada juga yang berhasrat untuk berubah jadi lebih baik.

Untuk menjawab persoalan tersebut, Penasihat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Dr Shamsul Mohd Nor berkongsi ilmu untuk membentuk jati diri Muslim yang berpandukan al-Quran dan Sunnah dalam program “Panduan Spiritual Bina Diri & Keluarga” di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd pada 13 Disember lalu.

Ustaz Dr Shamsul Mohd Nor

 

Beliau berkata, para ulama memberi panduan untuk membina diri dengan sifat mulia dengan membuang sifat yang tidak baik. Kita buang kebencian dalam diri dan isikan dengan kasih sayang sesama manusia. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang sentiasa memandang sesuatu itu daripada sudut yang positif.

“Kaedah dalam ilmu tasawuf untuk membuang sesuatu sifat mazmumah bukan sekadar benci, tetapi semua sifat terkeji (mazmumah) seperti sombong, takabur, ujub, dan marah. Ia memerlukan proses membuang sifat tersebut untuk digantikan dengan sifat yang baik.

“Terdapat tiga proses yang perlu dilalui iaitu takhali, tahali dan tajali atau dalam bahasa Inggeris disebut uninstall, rebuild and maintain. Pertama, takhali bermaksud mengosongkan diri daripada sifat mazmumah seperti kebencian atau rasa tidak senang kepada orang lain.

“Kedua, tahali iaitu selepas membuang sifat terkeji dari akar umbi, kita gantikan dengan sifat terpuji dan positif. Contohnya, marah digantikan dengan sabar. Sombong atau bangga diri digantikan dengan tawaduk atau rendah diri.

“Ketiga, tajali adalah proses istiqamah sifat yang baik. Ia memerlukan sifat keazaman yang tinggi dalam mempertahankan sifat tersebut di dalam diri walaupun datang pelbagai ujian. Cara kita beristiqamah dengan memohon rahmat dan kasih sayang ALLAH.”

Perkongsian ilmu oleh Ustaz Shamsul bersama peserta di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam pada Disember 2019

 

Beliau menambah, proses tajali membuatkan kita merasai kebesaran ALLAH yang memimpin kita. Apabila kita menyerahkan diri kepada ALLAH SWT, ALLAH akan mengatur hidup kita dan menunjukkan jalan kepada kita serta merasai kasih-sayang-Nya di setiap masa.

Apabila kita jatuh, ALLAH dengan rahmat-Nya mengembalikan semangat kepada kita untuk teruskan kehidupan. Di situ kita melihat kasih sayang ALLAH kepada kita. Selain itu, kita juga mahukan keluarga dan masyarakat untuk merasai kehebatan ALLAH dan jiwa bertuhan. Inilah dinamakan tajali.

“Takhali, tahali dan tajali merupakan proses yang disebut oleh para ulama, khususnya Imam Al-Ghazali dalam berinteraksi dengan jiwa, hati dan perasaan. Siapa mengenal diri, maka dia akan mengenal Tuhan.

“Sesiapa yang dapat mendidik diri dengan kebaikan, insya-ALLAH, ALLAH akan tunjukkan jalan kebenaran untuk menuju kepada ALLAH SWT. Nabi Muhammad SAW mengubah para sahabat yang dSahulunya bersifat ganas, zalim, dan kasar berubah menjadi orang yang penyayang, taat perintah ALLAH, adil dan menyeru orang lain kepada kebaikan. Seterusnya terbina institusi kekeluargaan dan negara yang dinaungi umat Islam.”

Pendekatan Nabi Muhammad SAW

Shamsul berkata, Nabi Muhammad menjadi contoh dalam menanamkan keyakinan dan keimanan dalam kalangan para sahabah kepada ALLAH dan hari Akhirat. Dengan mengenal ALLAH, mereka akan melihat betapa besar kasih sayang ALLAH.

“Mereka dididik untuk mencintai Nabi Muhamad SAW dan hari Akhirat lebih besar daripada dunia, sehingga sanggup berkorban harta demi keredaan ALLAH dan kemuliaan di negeri akhirat. Baginda SAW mengajar ukhuwah islamiyah yang berasaskan takhali, tahali dan tajali.

“Apabila sifat mahmudah dapat dipupuk dalam kalangan para sahabah, mereka menjadi tawaduk, zuhud, ikhlas dan tawakal. Seterusnya ia membawa kepada keluarga yang mengamalkan Islam, penubuhan negara Islam di Madinah serta perkembangan Islam ke seluruh dunia sehingga hari ini.”

 

 

Muhasabah diri untuk didik hati jadi baik. Gambar hiasan 123RF

 

Jika kita tidak membuat sifat mazmumah dalam diri, ia boleh menyebabkan berlaku ketidakadilan dan kezaliman dalam masyarakat. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita membawa mesej Baginda SAW sebagai rahmatan lilalamin yang memberi rahmat kepada sekelian alam.

ALLAH SWT berfirman: “Dan Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah Al-Anbiya’: 107)

Nabi Muhammad SAW ialah seorang yang mempunyai visi dan misi yang jelas dalam perjuangan.  Baginda SAW menyebarluaskan Islam dan mengangkat agama sebagai dustur atau perundangan dengan meletakkan ALLAH sebagai matlamat dan Islam sebagai jalan yang membawa manusia kembali kepada ALLAH SWT. Masyarakat yang berakhlak baik dapat membawa kebaikan, kehidupan yang aman, sentosa dan tenteram. Itu semua perlu melalui tiga proses tersebut iaitu takhali, tahali dan tajali.

Peranan hati

Shamsul berkata, untuk menggunakan pendekatan takhali, tahali dan tajali, kita perlu memahami manusia yang mempunyai dua elemen asas iaitu roh dan jasad. Jasad memerlukan makanan, pakaian, kesihatan, rumah dan kenderaan. Manakala roh mempunyai fungsi berbeza. Pertama, roh menerima maklumat, memproses ilmu dan membawa kepada keputusan. Inilah dinamakan akal.

Kedua, roh dinamakan jiwa atau hati yang merasai akan sesuatu perasaan seperti sayang kasih, benci, terguris, dan terasa. Ketiga, jika roh itu berkeinginan menjadi keberuntungan kepada dirinya atau bertindak dengan sesuatu yang tergesa-gesa ini dinamakan nafsu. Roh pada akal, jiwa atau hati dan nafsu merupakan perkara asa kepada manusia. Apabila kita sebut tentang kebaikan dan kejahatan, ia berkaitan dengan roh.

Daripada Nu’man bin Basyir, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Shamsul, hati menjadi tempat nilaian ALLAH SWT. ALLAH hendak melihat bagaimana kita dengan Dia pada hati. Oleh itu, setiap perkara bermula dengan hati atau lebih spesifik disebut niat.

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Shamsul menjelaskan bahawa roh daripada akal, jiwa atau hati dan nafsu akan melahirkan watak. Akal akan memproses dan menimbang maklumat, kemudian hati akan membuat keputusan dan baru dihantar ke seluruh anggota badan untuk melahirkan tindakan, sikap dan watak. Inilah proses dalam kerajaan diri kita. Suluhan hati baik akan membawa kebaikan, begitu juga di sebaliknya.

“Jika kita melihat teori Iceberg (gunung ais) di lautan. Sebenarnya apa yang kita zahirkan dalam perbuatan hanya 10 peratus daripada diri kita sebenar. Hakikatnya, kita tidak tahu dimensi dalaman seseorang itu melainkan kita dapat menyelami isi hatinya atau mengenali lebih mendalam dari segi jiwa, perasaan, hala tuju dan kepercayaannya.

“Tanpa ilmu dan tidak mengenali lebih rapat seseorang yang berbeza bangsa dan agama, kita mungkin bersikap prejudis. Untuk membuang sifat mazmumah, kita perlu rapat dengan mereka dan faham cara fikir, sudut pandang dan mendalami kepercayaan nilai yang sama dengan kita.

“Itu semua penting untuk kita dalam memahami tiga proses tersebut. Kita mungkin ada segunung kebencian tetapi boleh bertukar ke lembah simpati dalam beberapa saat apabila ada sifat keterbukaan. Kita tidak boleh menilai seseorang itu pada lahiriah melainkan dengan menyelami pemikiran, kepercayaan dan nilai-nilai yang ada pada diri orang tersebut.”

Pengasas Teknik Al-Badar ini berkata, tindakan lahir daripada pemikiran yang mempunyai persepsi dan imaginasi. Ada pepatah menyebut, kita jangan jadi seperti mata lalat yang selalu melihat keburukan orang lain tetapi jadilah seperti mata lebah yang selalu melihat kecantikan dan kebaikan.

Orang baik, alim dan warak tetapi mempunyai mata lalat yang suka mencari keburukan dan mencela adalah tidak baik. Pemikiran yang tidak baik membawa persepsi tidak baik seterusnya melahirkan sikap yang tidak baik. Oleh itu kita perlu kawal penglihatan kita daripada menonton televisyen atau internet yang membawa elemen negatif agar ia tidak merosakkan pemikiran.

“Jika hendak mengubah diri atau seseorang itu, perlu bermula dari segi kepercayaan dan nilai. Seterusnya ia membawa kepada perubahan pemikiran dan tindakan secara keseluruhan. Begitu juga dengan kisah Nabi Muhammad SAW yagn dapat mengubah kepercayaan para sahabah daripada menyembah berhala kepada mentaati ALLAH.

Ustaz Shamsul (tiga, kiri) bersama isterinya, Ayu Abdul Wahab (dua, kiri) dan peserta.

 

Dengan mengubah kepercayaan tersebut, ia dapat mengubah pemikiran dan sikap para sahabah ke arah nilai positif. Pada masa itu, orang kafir yang melihat akhlak orang Islam bermuamalah, mereka jadi kagum dan kebanyakan memeluk Islam disebabkan keperibadian Nabi Muhammad SAW dan para sahabah.

Pendekatan takhali, tahali dan tajali ini penting untuk membuang sikap dan nilai negatif seperti kemarahan, kebencian, keegoan dan takabur dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama kepada sifat penyayang, prihatin dan bertanggungjawab untuk menjadikan negara berbudi dan penyayang. Kita besarkan titik persamaan, kecilkan jurang perbezaaan sesama kita agar dapat hidup dalam negara yang aman dan damai.

Dari sudut Islam, kepercayaan dan nilai yang jitu dapat menyuluh pemikiran, sikap dan tindakan yang betul. Namun cabaran seterusnya, apakah perubahan tersebut akan berterusan? Ikuti siri akan datang bersama Ustaz Shamsul Mohd Nor dalam program “Panduan Spiritual Bina Diri & Keluarga” 3.0 di lokasi yang sama, pada 17 Januari 2020.

Program anjuran WUIF dan Rumah Ngaji dengan kerjasama Akademi Al-Badar diadakan sebulan sekali. Sesiapa berminat boleh mendaftar di http://bit.ly/KelasSavingFamilies. Penyertaan adalah percuma. Untuk maklumat lanjut boleh layari di https://www/facebook.com/WorldQuranHour.

 

 

 

 

 

 

Close Menu