Join Us Here!

BINA MASYARAKAT MADANI BERJAYA DI DUNIA DAN AKHIRAT

BINA MASYARAKAT MADANI BERJAYA DI DUNIA DAN AKHIRAT

“Membina masyarakat madani yang berjaya di dunia dan menggunakan kejayaan yang dicapai untuk alam akhirat” menjadi motivasi bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Raudhah City Sdn Bhd dan Pengasas Brainy Bunch International Islamic Montessori merangkap , Mohd Fadzil Hashim.

Mohd Fadzil bersama Fazrul pada program Rahsia Insan Cemerlang Hidup 3.0.

 

Tahun ini, beliau berjaya merealisasikan impiannya untuk membangunkan Raudhah City di Cyberjaya sebagai bandar Islam pertama di Malaysia dengan reka bentuk moden, lokasi strategik, penekanan cara hidup Islam dan menyediakan kemudahan bertaraf dunia.

“Raudhah City yang dilancarkan pada April lalu menawarkan kawasan kejiranan berimejkan Islam. Antara komponen utama dalam gaya hidup masyarakat di situ adalah solat berjemaah. Dunia akan aman apabila setiap orang berakhlak mulia berpandukan al-Quran dan Sunnah.”

Kini beliau mempunyai 109 cawangan Brainy Bunch International Islamic Montessori School di seluruh Malaysia dan luar negara termasuk Singapura dan Gaza.

“Tercetus idea untuk menubuhkan Brainy Bunch apabila saya mempunyai anak yang pertama dan mahukan pendidikan yang baik berasaskan Islam di samping memberi ilmu kemahiran hidup.

“Saya percaya setiap anak berhak mendapat pendidikan yang terbaik. Apabila anak-anak membesar, saya terfikir kita juga perlu menjaga komuniti. Dari situ, saya bercita-cita untuk membangunkan Raudhah City sebagai komuniti kejiranan yang boleh bekerjasama untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Mohd Fadzil mengikuti sesi tadabbur yang disampaikan oleh Fazrul pada RICH 3.0.

 

Mohd Fadzil yang berkelulusan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini akan berkongsi pengalaman beliau dalam sesi Bersama Tokoh sempena program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 3.0 bertajuk “Rezeki: Berfikiran besar” secara offline di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, 5 Oktober 2019.

Orang ramai juga boleh mengikuti perkongsian beliau secara online di FB Live World Quran Hour jam 6.30 pagi pada hari tersebut. Mereka juga boleh menyertai sesi Tadabbur al-Quran Surah Sad ayat 45 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

Fazrul bertadabbur surah pilihan di RICH 3.0 bermula jam 4.30 pagi.

 

Rich anjuran WUIF dan Rumah Ngaji diadakan pada setiap Sabtu jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi selama tiga bulan bermula 21 September 2019.

Close Menu