Sertai Kami Di Sini!
AZAM MASUK SYURGA SEKELUARGA

AZAM MASUK SYURGA SEKELUARGA

Setiap orang perlu ada azam masuk syurga sekeluarga. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada ALLAH dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah Al-Tahrim: 6)

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, ayat al-Quran tersebut merupakan asas dalam kempen My Family #QuranHour dalam menjaga keluarga.

“ALLAH SWT mengingatkan hamba-Nya untuk menjaga diri kita dan keluarga daripada bakaran api neraka. Bahan bakaran terdiri daripada batu dan manusia. Oleh itu jangan sampai manusia jadi hati batu.

“Antara ciri-ciri orang berhati batu atau hati keras apabila dibacakan al-Quran, dia tidak kisah pun apa yang berlaku kepada diri, keluarga dan masyarakat.

“Di neraka, ada penjaga yang sifatnya amat kasar dan keras. Mereka tidak derhaka dengan perintah ALLAH. Oleh itu, kita perlu menjaga diri dan keluarga sebagai asas dalam visi masuk syurga sekeluarga.”

Beliau berkongsi ilmu mengenai Resolusi Keluarga 1440H bersama 40 peserta rombongan dari Rumah Ngaji @ Kota Tinggi yang diketuai oleh sahabat umah Ngaji, Ustaz Mohd Khalid Sujud ke kompleks Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam pada 26 Disember 2018.

WUIF melancarkan Resolusi Keluarga 1440H sempena 1 Muharam lalu di bawah kempen My Family #QuranHour dan #savingfamilies. Perancangan tahun baru ini mengajak semua ahli keluarga untuk menjayakan misi dan visi jalan ke syurga.

Visi Resolusi Keluarga 1440H adalah masuk syurga sekeluarga. Untuk mencapai visi tersebut, terdapat tiga misi untuk menjayakannya iaitu pertama, bina syurga di rumah; bina rumah di syurga; dan berjuang masuk syurga sekeluarga.

Fazrul berkata, kita bersama keluarga perlu membuat perancangan tersebut bermula di bahagian akhirat, diikuti dengan perancangan setahun dan akhir tahun mengikut carta Resolusi Keluarga tersebut.

“Usaha ke jalan syurga hendaklah dimulakan dengan diri sendiri agar tidak tertekan untuk menyuruh keluarga melakukan amal dan ibadah. Namun kita tidak boleh mementingkan diri untuk beribadah, tetapi mengabaikan ahli keluarga lain.

“Berdasarkan Surah Al-Tur ayat 21, contoh ayah dan ibu rajin beramal dan beribadah, tapi anak cucu tidak ikut, mereka akan dihubungkan di syurga. ALLAH SWT tidak akan mengurangkan sedikit pun pahala amal mereka dengan syarat kita selalu ingatkan anak cucu kita untuk beriman.

“Kita selalu bangun malam, solat, berdoa dan banyak bersedekah. Sebenarnya itu antara amalan yang dilakukan untuk akhirat. Untuk memberi hidayah adalah kerja ALLAH SWT.”

Kata beliau, ayah ibu akan bertemu dengan zuriat mereka di tahap tertinggi di syurga kerana selalu merancang iman dan amal. Kita perlu ada niat dan doa untuk bertemu anak cucu di syurga.

“Azam masuk syurga sekeluarga tidak berubah setiap tahun kerana ia bersumberkan al-Quran. Kempen tersebut perlu dipeluaskan kepada masyarakat agar dapat panduan al-Quran dimanfaatkan untuk kehidupan sejahtera di dunia dan akhirat,” katanya.

Peserta memberi tumpuan kepada pembentangan Perancangan Resolusi Keluarga 1440H.

 

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Iaitu) orang yang berinfaq, pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan ALLAH mencintai orang yang membuat kebaikan.” (Surah Ali ‘Imran: 133 – 134)

Fazrul berkata, berdasarkan ayat al-Quran tersebut, perancangan kita perlu mengutamakan keampunan ALLAH SWT dan menjadi keluarga bertakwa. Amalan takwa yang dilakukan seperti berinfaq walaupun sedikit ketika susah dan senang, memaafkan dan menahan marah.

“Kita yakin tidak rugi beriman, amal dan berpesan kepada kebenaran. Ini disebut dalam Surah Al-Asr. Manakala Surah Al-Tur ayat 25 dan 26, ALLAH memberi bayangan di syurga, ahli syurga akan duduk berhadapan dan bertegur sapa.

“Untuk membina syurga di rumah, kita perlu pastikan semua ahli syurga beriman; menjaga solat dan memberi infaq agar dapat syurga. Tidak rugi buat perkara tersebut agar kita dapat bersantai di syurga,” katanya

Antara aktviti yang boleh dirancangkan bersama ayah, ibu dan anak seperti membaca, bertadabbur dan menghafaz al-Quran; solat berjemaah di masjid dan di rumah; menghadiri majlis ilmu; memberi infaq; menjemput tetamu; dan menjamu makan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/savingfamilies2017.

OLEH: FOUZIAH AMIR

Close Menu