Sertai Kami Di Sini!
RICH SIRI 9 – ANAKKU, JAGA PERILAKU

RICH SIRI 9 – ANAKKU, JAGA PERILAKU

OLEH FOUZIAH AMIR

Program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) ke-9 mengupas Pesan Luqman bertajuk “Anakku, peliharalah perilakumu” oleh Penasihat Modul Rumah Ngaji, Fazrul Ismail di Masjid Putra, Putrajaya.
Seramai 200 peserta mengikuti majlis ilmu anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Masjid Putra seawal jam 4.30 pagi hingga 8 pagi. Ia bersempena dengan kempen My Family @QuranHour dan #Saving Families dengan misi membawa masuk syurga sekeluarga.
Pada sesi pertama sebelum solat Subuh, peserta bertalaqi membaca Surah Luqman dan menghafal sebahagian ayat tersebut. Surah tersebut menjadi rujukan bagi panduan keibubapaan dalam mendidik anak.

Fazrul berkata, mengulas semula dengan ayat pertama dalam Surah Luqman, “Alif Lam Mim”, ini menunjukkan ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui dan kita tidak tahu untuk menjadi ibu bapa yang berhikmah.
Maka ALLAH SWT menyatakan dalam ayat seterusnya, “Inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah.” Oleh itu, ibu bapa yang mahukan panduan keibubapaan perlu merujuk kepada al-Quran sebagai kitab yang penuh hikmah.
“Apabila kita selalu membaca dan memahami al-Quran, insya-ALLAH, ALLAH memberi hikmah kepada kita sebagai disebut dalam ayat 12. Hikmah merupakan anugerah ALLAH. Kisah Luqman menjadi contoh orang yang mendapat hikmah daripada ALLAH SWT kerana selalu bersyukur.

“Syukur itu penting kerana ia menjadi syarat sebagai ayah yang selalu menghadapi masalah dan tekanan hidup, tetapi tidak mudah melenting. Ayah yang bersyukur mampu mengurus keluarga dengan baik seterusnya mewujudkan suasana sakinah, mawaddah dan rahmah.
“Orang yang baru bernikah mungkin berasa sakinah atau tenang. Namun ada sesetengah pasangan belum mencapai tahap mawaddah dan rahmah apabila kecundang dalam meniti usia perkahwinan.
“Ternyata perkahwinan bukan sekadar seronok mendirikan rumah tangga, namun ia disertai dengan tanggungjawab terhadap pasangan dan anak,” kata beliau yang juga Pengarah Eksekutif Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd.
Beliau berkata, Rich kali ini membincangkan lebih lanjut pesan Luqman mengenai mendidik anak dengan akhlak dalam ayat 18. Ia merupakan fokus ketiga selepas penekanan iman dan ibadah oleh Luqman Al Hakim dalam memberi panduan pendidikan keluarga berhikmah dengan kitab ALLAH.

Peserta Rich ke-9 hadir ke majlis ilmu sebagai tanda sokongan kempen My Family #QuranHour
Peserta cilik turut mengikuti program Rich

Berpaling wajah
ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu memalingkan wajahmu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya, ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.” (Surah Luqman: 18)
Fazrul memberitahu, ayat 18 membawa maksud jangan kamu ada penyakit seperti unta yang terseliuh leher (so’ir), iaitu jangan palingkan wajah kamu daripada orang yang bercakap. Ia merupakan akhlak yang perlu dijaga.
“Walau sesibuk manapun, si ayah yang bersyukur akan memberi perhatian kepada anak ketika bercakap. Begitu juga dengan anak yang berhikmah akan menghadapkan wajahnya kepada orang yang bercakap dengannya.
“Seterusnya, pesan Luqman kepada anaknya adalah jangan berjalan di muka bumi dengan sombong dan senang sangat. Perkataan “maraha” bermaksud gembira sehingga tidak kisahkan orang lain. Jika gembira biarlah bertempat.”

ALLAH SWT berfirman: “Jangan sesekali kamu menganggap bahawa orang yang gembira dengan apa yang telah mereka lakukan dan mereka suka dipuji atas perbuatan yang tidak mereka lakukan, jangan sesekali kamu menganggap bahawa mereka akan lepas daripada azab. Mereka akan mendapat azab yang pedih.” (Surah Ali Imran: 188)
Fazrul berkata, orang yang sombong suka dipuji dan perkataan yang dikeluarkan tidak berasas kebenaran. Sifat sombong, angkuh atau fakhur boleh menyebabkan kejituan potensi dalam diri berantakan dari segi emosi, spiritual, fizikal dan intelektual. Mereka yang sombong dan angkuh tidak dibantu ALLAH untuk mencapai kejayaan.
Tanda sombong, dia menjadi terlampau sedih dan berputus asa pada benda hilang dan sangat gembira serta bangga apabila memperolehinya. Ibu bapa perlu mendidik akhlak anak untuk mengawal emosi mereka agar mereka tidak menjadi individu sombong di dalam rumah.
“Orang yang suka berbelanja untuk bertukar atau menambah, boleh membawa sifat bangga diri. Jika suami benarkan budaya konsumerisme dalam keluarga, sebenarnya itu langkah membina fakhur dalam diri isteri.

“Apabila si ayah selalu memenuhi permintaan anak dari segi konsumerisme, ia juga membina fakhur dalam diri anak. Surah Al-Hadid ayat 20 menyebutkan bahawa kehidupan di dunia ada lima perkara iaitu permainan, hiburan, perhiasan,menunjuk-nunjuk kepada kawan, dan berusaha untuk menambah harta dan anak.
Berdasarkan lima perkara tentang dunia tersebut, manusia hakikatnya melalui tiga fasa iaitu hijau, kuning dan merah. Fasa hijau apabila dia kagum mendapat sesuatu perkara. Selepas memperoleh, dia melalui fasa kuning iaitu mulai cari benda baru. Fasa merah pula apabila ia hancur dan musnah.
“Contohnya, anak mendapat belon yang disukai di fasa hijau. Ia berubah menjadi fasa kuning apabila sudah dapat belon tersebut, anak mahukan permainan lain seperti Ultraman. Maka fasa merah berlaku, belon tersebut rosak. Isu konsumerisme itu berlaku kepada setiap individu.
“Cara mengelakkan terjebak daripada konsumerisme pertama, apabila mendapat barang, tanya pada diri apakah kita boleh mendapat ganjaran pahala atau azab di akhirat? Kedua, adakah ia membawa keredaan ALLAH atau manusia?” katanya.

Sifat sombong
Dalam Surah Luqman ayat 18, Luqman berpesan kepada anak supaya jangan berjalan dengan angkuh. Perkara yang sama disebut dalam ayat 37 Surah Al-Isra’ sebagaimana ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang gunung.”
Fazrul menambah, akhlak yang baik termasuk berjalan dengan merendah diri dan khusuk kepada ALLAH SWT. Cara berjalan tidak terlalu lambat atau cepat sehingga mengganggu orang lain. Si ayah yang berhikmah akan berjalan dengan anak kecil dengan sabar, bukannya cara merentap tangan.
Sepanjang nasihat Luqman, tiada jawapan anaknya yang disampaikan oleh ALLAH. Menurut ahli tafsir dan kalangan ulama, jawapan anak itu tidak penting, tetapi memfokuskan ayah yang positif dan mendapat hikmah daripada al-Quran.
Ayah yang mendapat mukjizat al-Quran berpersonaliti lebih kuat dan tidak terkesan dengan anak yang memberi respons negatif dan bukannya dikawal anak.
Kesimpulanan, untuk membina akhlak anak pertama jaga perkataan dan jangan berpaling wajah daripada orang yang bercakap. Kedua, percakapan jangan diisi dengan kesombongan. Ketiga, menjawab pertanyaan dengan rasa syukur.
Keempat, jaga perkataan mengenai konsumerisme di dalam rumah untuk mengelakkan fakhur serta elakkan perkataan yang tidak berpijak di bumi nyata. Jaga bahasa tubuh dan jangan menjadikan membudayakan hujung minggu untuk perkara konsumerisme.

Bersarapan bersama selepas program Rich
Close Menu