Sertai Kami Di Sini!
AL-QURAN SUMBER KEKUATAN HARTINI

AL-QURAN SUMBER KEKUATAN HARTINI

OLEH FOUZIAH AMIR

 

 

Tanggal 14 September lalu meninggal kesan mendalam bagi penggerak Rumah Ngaji @ Zuliana & Ar Ridzuan, Datin Hartini Abd Ghani apabila  anaknya, Allahyarham Nik Muhammad Ridzuan Nik Azalan terkorban dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Keramat.

“Itulah pertemuan terakhir kami di dunia pada jam 11 malam. Kami menghantar pakaian serba putih termasuk jubah, kopiah, serban, dan seluar kepada arwah.

“Tujuh jam berlalu, itulah perpisahan kami di dunia. Semoga ALLAH satukan semula di Jannah. Amin ya ALLAH. Engkaulah sebaik-baik perancang,” memulakan cerita dengan nada sayu.

Ini merupakan kali kedua Hartini kehilangan anak selepas pemergian anak ketiga, Allahyarhamah Zuliana Abdul Wahab, 19, akibat penyakit kanser usus pada 2015. Sebelum itu Zuliana berjaya menghafal 30 juzuk  al-Quran.

Bersama arwah anak, Ridzuan.

 

ALLAH telah mengambil dua daripada tujuh anaknya yang masih muda. Kata Hartini, dari sudut spiritual, ujian tersebut merupakan suatu keindahan. Beliau yakini janji ALLAH pasti. Syarat untuk masuk syurga mesti ada ujian.

“Tanpa al-Quran, saya mungkin rebah selama-lamanya kerana ia  merupakan satu kesedihan dan malapetaka dari sudut dunia. Namun dengan mendekati al-Quran, ALLAH bantu saya dengan memberi kekuatan menghadapi segala ujian-Nya.”

Beliau berkata demikian dalam perkongsiannya “Bawa keluarga masuk syurga” dengan peserta Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) sempena kempen My Family #QuranHour 1439H, 15 Oktober lalu. Beliau hadir ke program tersebut bersama anak bongsunya, Nik Muhammad Imran, 11.

“Saya hanya diberitahu berita kebakaran sekolah tahfiz tersebut selepas solat Dhuha. Setelah gagal menghubungi warden dan pengetua, saya beristighfar, berwuduk, solat dan solat kerana hendak mententeramkan hati.

“Setiba di tempat kejadian jam 12 tengah hari, saya mendapati senarai mangsa yang selamat tiada nama anak saya. Semua jenazah telah dibawa ke Jabatan Forensik. Tak dapat dibayangkan kesedihan yang dialami. Saya terasa dunia jadi gelap dan hilang semangat seketika.

“Tapi dari sudut iman, ia adalah ujian ALLAH. Dengan kata-kata semangat daripada anak “ALLAH sayang ibu dan adik”. Suami saya turut memberi sokongan untuk setiap usaha menuju reda ALLAH. Ini menjadikan saya kuat untuk terima kenyataan tersebut,” katanya.

Kelas ngaji percuma
Kini Rumah Ngaji @ Zuliana &  Ar Ridzuan bercahaya saban malam dengan alunan bacaan dan hafalan ayat suci al-Quran oleh 20 pelajar tahfiz, termasuk sebahagiannya dari Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bermula jam 6.30 petang hingga 10 malam.

“Kehadiran mereka dapat memberikan saya semangat dan menghilangkan rasa rindu kepada kedua-dua arwah anak saya. Ini membuatkan hati saya lebih tenang.

“Sebelum ini, Rumah Ngaji saya beroperasi di Medan Tuanku, Kuala Lumpur dan kini beroperasi  di Jalan Raja Uda, Kampung Baru sejak awal tahun.

“Pemergian arwah Zuliana  telah mencetuskan penubuhan Rumah Ngaji @ Zuliana. Kini nama tersebut digabungkan dengan Ar Ridzuan selepas pemergian arwah anak lelakinya, lebih sebulan lalu,” ujarnya.

Hartini bersama keluarga ketika kedua arwah anak masih ada

Hartini yang juga Pengerusi Koperasi Usahawan Sohowanita Kuala Lumpur Berhad mengakui bukan mudah untuk menarik minat orang untuk belajar al-Quran. Namun beliau bersyukur dengan adanya Rumah Ngaji, ia menjadi platform untuk mengajak orang ramai khususnya penduduk di sekitar kawasan, berinteraksi dengan al-Quran secara santai.

Beliau mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai kelas pengajian al-Quran secara percuma di tempatnya. Ini termasuk Kelas Tafsir pada setiap Jumaat dari jam 3 petang hingga 4 petang, Kelas Iqra (Sabtu, 11 pagi hingga 12.30 tengah hari) dan Kelas Tajwid (Ahad, 11 pagi hingga 5 petang).

Selain kelas ngaji, beliau juga menjalankan restoran dan kilang pembuatan makanan di bawah satu bumbung atas nama Tini Cake & Cookies. Di Kalangan usahawan sohowanita juga  turut menyumbang bagi membantu operasi Rumah Ngaji @ Zuliana & Ar Ridzuan.

“Saya berusaha untuk menambahkan bilangan peserta Rumah Ngaji dengan mengadakan pelbagai aktiviti. Contohnya, mereka akan mengikuti bengkel membuat makanan, kemudian diajak mengaji bersama. Bagi saya, medan perniagaan memudahkan kita untuk berdakwah,” katanya.

Pesanan Zuliana
Anak kelahiran Perak ini mendapat inspirasi untuk menghantar anak-anak ke pusat tahfiz bagi mengikut jejak langkah datuk dan neneknya, Haji Mokhtar dan Hajjah Lijah, yang ‘melepaskan’ anak sulungnya, 10,  iaitu bapa Hartini, Abdul Ghani untuk belajar di Madinah.

Selepas tujuh tahun, Abdul Ghani kembali ke tanah air. Beliau yang fasih berbahasa Arab telah  menjalankan perniagaan. Melalui bidang tersebut, beliau boleh berinteraksi dengan masyarakat untuk sampaikan dakwah melalui al-Quran.

Hartini berkata, beliau bertekad untuk anak-anaknya mengikuti jejak arwah ayahnya menjadi Al hafiz. Beliau telah menghantar anak sulungnya yang berusia 6 tahun ke madrasah selama tiga tahun.

“Cabaran saya apabila kalangan rakan dan saudara mara  yang mengatakan saya tidak mempunyai belas kasihan kerana melepaskan anak yang masih kecil di asrama tanpa perhatian yang sepatutnya dilalui oleh seorang anak.

“Atas dasar kasihan dan desakan tersebut, saya telah masukkan anak saya ke sekolah harian. Namun saya sedih bila mendapat perubahan anak yang dahulu rajin solat dan membaca al-Quran kini budaya tersebut ditinggalkan,” katanya.

Hartini, tabah menghadapi ujian ALLAH

 

Berdasarkan pengalaman tersebut, Hartini menghantar anak kedua dan seterusnya ke madrasah. Sebagai ibu, beliau berharap kesemua zuriatnya menjadi anak soleh dan menjadi jambatan keluarga ke syurga.

Beliau ingat kata-kata arwah anaknya, Zuliana tiga hari sebelum meninggal dunia yang dinukilkan dalam nota kecil.  Pesan Zuliana kepada beliau, ‘ibu jangan sedih kalau apa-apa terjadi kepada Nana. Sebenarnya kita hanya sementara di dunia. Nana reda apa terjadi kepada diri Nana kerana ALLAH ada. ’

“Nana tinggalkan nota tersebut bersama senaskhah al-Quran digital. Saya berasa sebak dengan pesanan Zuliana yang mahukan saya teruskan perjuangan, mendekati al-Quran dan menjadikan ia sebagai panduan hidup.

“Al-Quran dapat mengubat segala kesedihan dan menjadi penyembuh yang sangat sempurna. Bacalah al-Quran walaupun tiga Qul (Surah An-Nas, Surah Al-Falaq dan Surah Al-Ikhlas). ALLAH menjentik hati saya untuk menerima hidayah melalui anak saya,” ujar wanita tabah ini.

Beliau menyatakan sebagai hamba ALLAH tidak terlepas daripada pelbagai cabaran hidup. Hanya ALLAH yang berhak untuk beri kebaikan dan kemudaratan. Jadi, kita berdoa setiap hari agar diberi petunjuk dan hidayah ke jalan yang lurus.

“Sebagai ibu bapa, jangan putus asa untuk mendidik anak ke jalan ALLAH. Jangan peduli apa orang cakap, kita buat kerana ALLAH. Di dunia ini hanya sementara. Jadi kumpulkan sebanyak-banyak kebaikan dan pengorbanan kita agar kita kekal bahagia di sana.

“Saya mengambil iktibar dari kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail pengorbanan mereka kerana ALLAH. Semangat itulah yang saya ambil untuk teruskan perjuangan kerana ALLAH hingga akhir hayat.

“Meyakini ganjaran ALLAH. Pengorbanan di jalan ALLAH tidak datang secara percuma. Siapa yang mentaati ALLAH SWT dan menyanggupi pengorbanan di jalan-Nya, pastilah ALLAH tidak akan meninggalkannya dalam kesia-siaan,” ujarnya penuh bersemangat.

 

Close Menu