Sertai Kami Di Sini!
BUKAN MUDAH BUAT KEBAJIKAN

BUKAN MUDAH BUAT KEBAJIKAN

OLEH FOUZIAH AMIR

RASA simpati dan belas kasihan mudah menerpa dalam diri Haliza Abdul Halim, 56. Apatah lagi apabila beliau bertemu dengan orang yang lemah dan kurang bernasib baik.

Bukan sekadar ucapan kasihan di bibir dan menunjukkan wajah simpati,  tetapi  beliau bertindak untuk tampil menghulurkan bantuan.

Ini terbukti apabila anak kelahiran Klang, Selangor ini sangat komited sebagai sukarelawan sejak hampir empat dekad lalu. Berdasarkan pengalaman tersebut, beliau menjadi pengasas Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh (Baitul Fiqh), pencetus We Care Food for Hunger dan Food Bank untuk asnaf.

Sebenarnya Haliza melibatkan diri dalam dunia kerja amal dan kebajikan sejak kecil lagi. Beliau sering mengikuti ibu bapanya untuk membuat kerja amal di rumah anak yatim dan miskin.

Apabila meningkat dewasa, beliau semakin rancak menyertai aktiviti sukarelawan bersama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO). Beliau pernah menyertai Doctor Beyond Borders dalam menyediakan keperluan perubatan dan pakaian untuk misi bantuan kemanusiaan di negara dunia ketiga seperti Laos.

 

Haliza Abdul Halim

 

“Institusi agama lain turut terlibat secara langsung dalam kerja amal NGO. Mereka memberi sumbangan dalam bentuk dana dan kemudahan tempat perlindungan kepada golongan yang memerlukan termasuk orang Islam.

“Pada tahun 2000, ada rakan sukarelawan bukan Islam meminta saya untuk menyelamatkan bayi yang dilahirkan gadis Muslim di sebuah gereja. Ketika itu, saya baru melahirkan anak yang berusia dua minggu. Niat saya membantu adalah menyelamatkan akidah mereka.

“Dari situ, saya sedih melihat ramai orang susah khususnya Melayu yang diberi perlindungan di tempat yang tidak yang sewajarnya. Mereka terdiri daripada mangsa dera, kes ah long, dan terlanjur.  Mereka tinggal di situ kerana mendapat layanan baik pihak tersebut.”

Kejadian tersebut menjadi titik tolak Haliza untuk menubuhkan rumah perlindungan. Usaha tersebut mendapat sokongan daripada keluarga tercinta.

Setelah lima tahun berusaha mendapatkan dana, barulah Baitul Fiqh direalisasikan sebagai tempat perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga, orang miskin, ibu tunggal, remaja bermasalah, pengukuhan tauhid, kaunseling, motivasi dan transit.

“Dalam menghadapi cabaran kekangan dana untuk mengusahakan Baitul Fiqh, saya tersentuh dengan kata-kata anak, ‘kita tak payah kenakan bayaran.  Apa yang ada, makan bersama.’ Alhamdulillah, ALLAH bantu kita sehingga hari ini.

“Saya bersyukur mempunyai rakan-rakan yang sering menghulurkan bantuan. Kami juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk kos operasi Baitul Fiqh, termasuk kos perubatan, hospital, barangan keperluan, penyelenggaraan dan pentadbiran,” katanya.

 

Ustaz Hasbullah memberi perkongsian rohani kali terakhir dalam Program We Care Food for Hunger di tepi Sungai Klang.

 

Hampir hilang nyawa

Baitul Fiqh yang kini beroperasi di Jalan SS14, Subang Jaya menerima kemasukan penghuni yang ada rujukan, seperti polis, Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak yang dipercayai. Ini memudahkan pihaknya untuk menguruskan penghuni yang mempunyai latar belakang berbeza.

Keistimewaan Baitul Fiqh adalah mengutamakan pengisian rohani kepada penghuninya. Mereka dididik untuk bangun seawal 4 pagi untuk menjalani aktiviti qiyamullail, solat subuh, tazkirah, mengaji al-Quran, dan perkongsian ilmu.

“Semenjak saya mengendalikan Baitul Fiqh, ia mengubah cara hidup saya secara langsung. Jika sebelum ini, saya tidak pernah bangun awal. Kini saya ‘tumpang sekaki’ bersama penghuni untuk untuk meningkatkan ilmu agama dan amal ibadah.

“Kebanyakan penghuni di sini tahu membaca al-Quran. Dengan pendekatan taddabur dan tazakkur al-Quran yang disampaikan guru agama, ia lebih mudah difahami untuk diamalkan dalam kehidupan mereka.

“Apabila mereka ikhlas dalam beribadah, boleh nampak perubahan positif  dalam diri mereka, terutama dari segi akhlak. Bagi mereka yang tidak tahu membaca al-Quran dan solat, kita didik mereka bermula dengan asas agama,” ujar penggerak Rumah Ngaji @ Baitul Fiqh ini.

Wanita berjiwa kental ini mampu mengecap kebahagiaan apabila melihat penghuninya berjaya dalam hidup selepas melangkah keluar dari Baitul Fiqh. Ada banyak kisah kejayaan mereka seperti membina rumah tangga, menyambung pengajian dan bekerjaya. Di Baitul Fiqh turut menyediakan kelas kemahiran seperti bakeri dan kraf tangan untuk penghuni yang boleh dijadikan bisnes.

Rumah Ngaji @ Baitul Fiqh bantu golongan terpinggir menimba ilmu agama.

 

Dalam berbuat kerja amal kebajikan, Haliza tidak terlepas daripada dugaan yang hampir meragut nyawanya pada Mei 2012. Beliau pernah ditikam 15 kali di perut dan dada oleh bekas pekerjanya yang dipecat. Kesan kejadian tersebut, beliau mengalami urat putus dan paru-paru bocor.

Kini beliau sebagai pemegang Orang Kelainan Upaya (OKU) masih mendapatkan rawatan dari semasa ke semasa. Namun masalah kesihatan bukanlah halangan bagi beliau untuk meneruskan kerja amal tanpa mengira waktu. Tambahan pula, beliau mendapat sokongan kuat  kalangan aktivis NGO lain untuk turun pandang  di lapangan.

Kongsi kasih sayang

Haliza bersama rakan sukarelawan telah menggerakkan program We Care Food For Hunger di tepi Sungai Klang, Kuala Lumpur sejak 2001. Antara pengisian program tersebut adalah mengaji, tadabbur dan tazakkur al-Quran, serta pengagihan makanan kepada 300 gelandangan di kawasan Pudu, Cahaya Suria, Kota Raya, Petaling Street, dan Stesen Bas Klang.

Tanggal 13 Julai lalu merupakan hari terakhir bagi aktivitis dan gelandangan menjalankan aktiviti di lokasi tersebut. Ini berikutan arahan pihak berkuasa tempatan yang melarang pengagihan makanan secara terbuka.

Bagaimanapun, kata Haliza, kelas mengaji masih diteruskan dalam skala yang kecil di sebuah restoran berhampiran Pasar Seni bermula 20 Julai lalu. Mereka komited  dalam mempelajari al-Quran beserta tadabbur dan tazakkur. Usaha tersebut dapat membentuk diri mereka lebih positif  dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

“Apa pun yang berlaku, saya tidak akan berputus asa untuk membantu komuniti terpinggir.  Saya memohon kekuatan daripada ALLAH SWT dalam menghadapi pelbagai cabaran. Saya  juga reda, sabar, dan ikhlas kerana membuat kerja kebajikan bukan mudah.

“Hubungan kami dengan golongan gelandangan Muslim dan bukan Islam bagaikan satu keluarga besar. Kami berkongsi nikmat dan kasih sayang melalui aktiviti kerohanian dan pengagihan makanan saban minggu.

“Kami melihat sebahagian mereka yang  berjaya menjadi usahawan, bekerjaya dan berkeluarga.  Lebih menyentuh hati apabila  mereka datang semula dan membimbing rakan lain untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” ujar bekas pengurus syarikat penyiaran ini.

Nasihat Haliza kepada aktivis dan sukarelawan hari ini agar lebih banyak bertindak daripada bertanya ‘apa yang boleh dibantu’.  Mereka perlu pandai menguruskan masa dan kurang bermain gajet seperti berselfie untuk menonjol diri. Cabaran membuat kerja amal adakalanya membuatkan diri rasa riak.

“Saya terpaksa menunjukkan apa jua aktiviti kebajikan di Facebook untuk meyakinkan pihak penderma tahu ke mana duit mereka digunakan. Kita perlu telus supaya diberi kepercayaan untuk kita meneruskan kerja amal ini.

“Kerja sukarelawan bukan sekadar nama. Niat dan ilmu perlu seiring, di samping berusaha dalam kerja berpasukan. Perlu diingat hala tuju kita adalah untuk memperbaiki diri . Apa yang kita harapkan pahala untuk ibu bapa, diri dan keluarga,” kata pengamal Neuro-Linguistic Programming (NLP) ini.

Haliza berkongsi rezeki dengan golongan gelandangan

 

————————————————————————————————————————————–

ALLAH SWT berfirman: “ Dan tolong-menolonglah kamu dalam (melakukan) kebaikan dan ketakwaan, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH sangat berat seksaan-Nya.” (Surah Al-Maidah: 2)

Save

Save

Close Menu